Keperluan peniaga kecil-kecilan di luar bandar terus diberi perhatian: Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Keperluan peniaga kecil-kecilan di luar bandar terus diberi perhatian: Ewon

6 Julai 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, keperluan para peniaga kecil-kecilan terutamanya di kawasan luar bandar seluruh negara akan terus diberi perhatian.


Beliau berkata, ini termasuk peruntukan tambahan untuk pembangunan tamu atau ruang niaga di luar bandar bagi memberi keselesaan kepada usahawan-usahawan dan peniaga kecil-kecilan di kawasan itu.

“Kementerian akan terus memberikan pembelaan dan perkhidmatan terbaik kepada golongan usahawan kecil-kecilan sebagai antara usaha dan komitmen kita menoktahkan kemiskinan.


“Dalam mesyuarat Kajian Separuh Penggal RMKe-12 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dua minggu lalu, kementerian saya telah mengutarakan keperluan usahawan kecil-kecilan di negara ini antaranya peruntukan tambahan untuk pembangunan tamu dan ruang niaga di luar bandar.


“Saya amat gembira kerana kehadiran Datuk Seri (Ahmad Zahid Hamidi) yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Keusahawanan dan PMKS Kebangsaan menunjukkan komitmen besar beliau dalam mengangkat dan memartabatkan komuniti usahawan kecil dan sederhana di negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Pelancaran Pelan Pemformalan Usahawan Informal Kuskop, di Dewan Tun Hussein Onn, World Trade Centre Kuala Lumpur (PWTC), di sini, hari ini.


Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.


Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah Datuk Rubiah Wang, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) Dato’ Sri Suriani Dato’ Ahmad, Pengerusi TEKUN Nasional Dato’ Haji Abdullah Sani Abdul Hamid, ketua-ketua agensi dan dan pegawai-pegawai kanan Kuskop.

Ewon berharap, kementeriannya atau agensi di bawah kementerian itu seperti Tekun Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) diberikan peruntukan tambahan bagi membolehkan lebih ramai usahawan kecil-kecilan dapat dibantu.


“Saya berpendapat, antara cara untuk menoktahkan kemiskinan ialah melalui pembudayaan keusahawanan di peringkat akar umbi dan juga pembinaan kemudahan yang mereka perlukan,” katanya.


Pada majlis itu, Timbalan Perdana Menteri turut menyampaikan pembiayaan TEKUN Nasional berjumlah RM104,000 kepada 10 usahawan Tekun termasuk usahawan baharu mendaftar perniagaan sebagai salah satu insentif pasca pemformalan.

bottom of page