KePKAS Tegas Tangani Pengusaha Pelancongan Tanpa Lesen, Perkukuh Penguatkuasa Bersepadu
- nabalunews
- Apr 29
- 2 min read

29 April 2026
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah menegaskan komitmennya untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti pelancongan tanpa lesen.
Ia selaras dengan peruntukan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482] yang berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Arifin berkata, walaupun penguatkuasaan akta tersebut terletak di bawah MOTAC, Kerajaan Negeri sentiasa bekerjasama rapat dengan kementerian berkenaan.
Katanya, ia termasuk agensi-agensi penguatkuasaan lain bagi memastikan pematuhan undang-undang dalam industri pelancongan.
“Pendirian Kerajaan Negeri adalah jelas dan tegas, kita tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau pengusaha yang menjalankan aktiviti pelancongan secara tidak berlesen, sama ada melibatkan pelancong tempatan mahupun asing.
“Sebagai langkah proaktif, Kerajaan Negeri memberikan mandat kepada kementeriannya untuk menubuhkan Jawatankuasa Keselamatan Pelancong Negeri Sabah, yang menghimpunkan pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia, ESSCOM, Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah serta agensi berkaitan lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang, Samuel Wong Tshun Chuen.
Menurutnya, jawatankuasa tersebut berfungsi sebagai platform penyelarasan tindakan serta pemantauan isu keselamatan dan pematuhan dalam industri pelancongan di negeri ini.
Dalam masa yang sama, katanya, sebuah Task Force khas turut ditubuhkan bagi menangani isu pelancongan di daerah Semporna, yang dipengerusikan sendiri oleh beliau.
“Penubuhan Task Force ini mengambil kira kedudukan Semporna sebagai hab pelancongan utama yang berdepan pelbagai isu kompleks merangkumi aspek keselamatan, imigresen, sosial dan infrastruktur,” jelasnya.
Task Force berkenaan melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP), Pejabat Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), MOTAC Sabah, PDRM, Jabatan Peguam Besar Negeri, Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) serta agensi lain.
Menurutnya, pendekatan bersepadu yang dilaksanakan itu akan dijadikan sebagai model rujukan (blueprint) untuk diperluaskan ke daerah-daerah lain di seluruh Sabah.
Sementara itu, Jafry berkata MOTAC dengan kerjasama agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan turut melaksanakan operasi penguatkuasaan bersepadu secara berkala di lapangan.
“Operasi ini menyasarkan mana-mana individu atau pengusaha yang melanggar peraturan tanpa mengira kewarganegaraan, termasuk pelancong asing yang menyalahgunakan pas lawatan untuk menjalankan aktiviti perniagaan secara haram,” katanya.
Dari sudut perundangan, beliau menegaskan bahawa mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti pelancongan tanpa lesen adalah melakukan kesalahan serius di bawah Akta 482.
“Jika sabit kesalahan, individu atau syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali,” tegasnya.
Selain itu, tindakan juga boleh diambil di bawah undang-undang lain oleh Jabatan Imigresen Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan dan agensi berkaitan. Bagi kes melibatkan pelancong asing, tindakan seperti pembatalan pas, pengusiran serta senarai hitam akan dilaksanakan oleh pihak berkuasa.
Mengakhiri kenyataan, beliau menegaskan bahawa Kerajaan Negeri kekal komited dalam memastikan industri pelancongan Sabah terus berkembang secara mampan, di samping melindungi kepentingan pengusaha tempatan yang sah serta menjamin keselamatan pelancong.
“Langkah-langkah tegas ini penting bagi memastikan industri pelancongan Sabah terus dihormati di peringkat antarabangsa,” katanya.















Comments