top of page
Wartawan Nabalu News

Kerajaan diminta bantu selesaikan isu kekurangan pekerja asing


Gambar Hiasan

10 Jan 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kerajaan diminta membantu menyelesaikan masalah kekurangan pekerja asing yang dihadapi oleh industri di negeri ini.


Setiausaha Agung Persatuan MajikanSabah (SEA) Fong Ming San berkata, industri di Sabah yang sangat bergantung kepada tenaga kerja asing kini berhadapan masalah kekurangan pekerja sejak beberapa tahun kebelakangan ini.


Beliau berkata, situasi itu menjadi teruk apabila negara menutup sempadan pada Mac 2020 bagi mengawal penularan Covid-19.


Sehubungan itu enam persatuan perniagaan iaitu SEA, Persatuan Perusahaan Kayu-Kayan Sabah (STIA), Persatuan Kayu-Kayan Sabah, Persatuan Perabot Sabah, Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Sabah dan Persatuan Penanam-Penanam Malaysia Timur mengemukakan memorandum mengenai pekerja asing kepada Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor melalui Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah Datuk Dr Joachim Gunsalam.


Mereka berharap kerajaan negeri dapat mempertimbangkan cadangan-cadangan yang dikemukakan dalam memorandum itu bagi menangani isu kekurangan pekerja asing di negeri ini.


"Pekerja asing yang permit kerja sudah tamat tempoh pulang ke negara asal dan tidak dapat kembali ke Malaysia. Pada masa yang sama kerajaan juga membekukan pengambilan pekerja asing baharu," katanya dalam kenyataan media.


Fong berkata, pelaksanaan beberapa perintah kawalan pergerakan (PKP) turut menyebabkan aktiviti perniagaan ditutup, operasi dibuka dengan kapasiti terhad.


"Apabila sektor ini dibuka semula, kita berhadapan dengan kekurangan pekerja khususnya dalam sektor 3D iaitu Difficult, Dirty dan Demanding yang tidak diminati pekerja tempatan," katanya.


Antara cadangan mereka ialah, membenarkan permohonan kuota pekerja asing dilaksanakan dengan segera dan mengeluarkan garis panduan terkini untuk permohonan penggajian pekerja asing.


Langkah lain yang dicadangkan ialah mengurangkan levi pekerja asing sebanyak RM6,000 (sektor pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan) bagi mereka yang telah bekerja selama 11 tahun dan ke atas dan memperbaharui pas kerja pekerja yang mempunyai dokumen yang baik yang tidak dapat memperbaharuinya berikutan langkah kawalan pergerakan Covid-19.



Comments


bottom of page