KERAJAAN GRS BERDIAM DIRI, PEKERJA SFI SUDAH DUA BULAN TIADA GAJIKERAJAAN GRS BERDIAM DIRI, PEKERJA SFI SUDAH DUA BULAN TIADA GAJI
top of page
  • nabalunews

KERAJAAN GRS BERDIAM DIRI, PEKERJA SFI SUDAH DUA BULAN TIADA GAJI


19 April 2021


SIPITANG: “Sudah dua bulan kami tiada gaji dan kini sudah masuk bulan ketiga tapi, Sabah Forest Industries Sdn Bhd (SFI) dan kerajaan negeri masih berdiam diri,”.


Setiausaha Agung Persatuan Pekerja Sabah, Engrit Liaw berkata, kira-kira 2,000 pekerja SFI berada dalam kegelapan dan dibiarkan tanpa sebarang penjelasan mengenai ketiadaan gaji sejak Februari lalu.



Beliau yang juga Pembantu Projek di SFI berkata, mereka berdepan dengan kelewatan pembayaran gaji pada Disember 2020 dan Januari lalu. Kemudian bermula Februari hingga sekarang, tiada sebarang penjelasan diberikan mengenai ketiadaan pembayaran gaji.


“Sampai bila kami perlu menunggu dalam kegelapan tanpa mengetahui nasib dan masa depan pekerjaan kami. Anak-anak kami kelaparan dan perlukan makanan, kalau tiada gaji macam mana mahu bagi makan anak-anak,” katanya ketika dihubungi.


Menurutnya, pekerja-pekerja SFI masih turun bekerja seperti biasa bagi menjalankan kerja-kerja penyelenggaran dan pembersihan.


Katanya, operasi kilang SFI sudah lama dihentikan sejak penjualan SFI dan kes mahkamah yang masih belum selesai sehingga kini.


Namun, apa yang pekerja SFI mahukan sekarang adalah penjelasan daripada kerajaan negeri tentang apa status SFI sekarang.



“Kami mahu SFI lebih telus dalam menjelaskan situasi semasa kerana pekerja perlu tahu bagaimana nasib mereka dan apa jaminan pekerjaan yang mereka ada,” jelasnya.


Engrit berkata, jawapan yang selalu diberikan kerajaan adalah kerajaan negeri hanya mempunyai sedikit sahaja saham dalam SFI jadi kerajaan tidak dapat berbuat apa-apa.


Jika itu juga alasan diberi kerajaan sekarang, ia amat mengecewakan. Kena lihat keadaan di sini, kebanyakan pekerja adalah orang tempatan malah, hampir semua pekerja di SFI ini adalah anak tempatan yang datang dari seluruh Sabah.


“Kami merayu kepada kerajaan tolong buat sesuatu jangan biarkan kami dibiarkan kelaparan. Jangan biarkan anak-anak yang bersekolah kelaparan.


“Kami berharap kerajaan tidak terus berdiam diri dalam membantu pekerja SFI yang sudah kehilangan tempat mengadu,” katanya.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob turut mengemukakan surat kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor bagi meminta perhatian kerajaan untuk membantu menyelesaikan isu pembayaran gaji dan elaun pekerja SFI.

Datuk Yusof Yacob

Dr Yusof berkata, beliau telah didatangi beberapa pekerja SFI yang mengadu tentang pembayaran gaji yang masih tertangguh sejak Februari hingga sekarang.


Pekerja juga mengadu kebajikan mereka terabai sejak kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memerintah. Mereka juga memerlukan arahan spesifik tentang kehadiran bekerja dan tugas-tugas yang perlu dilakukan.


“Pekerja-pekerja SFI ini mempunyai keluarga untuk ditanggung dan kini dalam bulan Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri, mereka perlukan duit untuk membeli barang keperluan anak-anak,” kata Dr Yusof. -The Sabah Today



photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page