• Marryan Razan

Kerajaan GRS tidak akan bubar Hutan Simpan Wariu di Kadamaian


23 Sept 2021

Oleh Marryan Razan


KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri telahpun memutuskan untuk tidak membubarkan kawasan Hutan Simpan Wariu.


Ketua Menteri Datuk Hajiji Haji Noor berkata, kawasan hutan simpan itu perlu dikekalkan sebagai kawasan Totally Protected Area (TPA) untuk pemeliharaan alam sekitar, sumber dan punca air, cuaca serta kesejahteraan komuniti setempat.


“Berkaitan cadangan pembubaran Hutan Simpan Wario yang dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat Kadamaian Datuk Ewon Benedick, Hutan Simpan Sungai Wariu Kelas I telah diwartakan pada 8 Disember 2016 melalui nombor warta GN13/2016 dengan keluasan 247 hektar.



“Kerajaan Negeri telahpun memutuskan untuk tidak membubarkan kawasan hutan simpan ini dan perlu dikekalkan sebagai kawasan TPA untuk pemeliharaan alam sekitar, sumber dan punca air, cuaca serta kesejahteraan komuniti setempat,” katanya dalam ucapan penggulungan pada persidangan dewan undangan negeri, di sini, hari ini.


Mengenai isu tanah yang dibangkitkan oleh Adun Senallang, Kadamaian, Telupid dan Darau, Hajiji berkata pada tahun 2016 Kerajaan Negeri telah memutuskan bahawa Permohonan Tanah oleh Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) yang berstatus Tanah Kerajaan tidak akan diberikan tanah bergeran tetapi sebaliknya akan diwartakan di bawah Ordinan Tanah Sabah.


“Polisi itu masih kekal dan dilaksanakan sehingga kini. Bagaimanapun, tanah-tanah hasil daripada Proses Pengambilan Tanah ke atas tanah-tanah bergeran untuk tujuan pembinaan bangunan pentadbiran dan operasi Jabatan Persekutuan masih lagi dikeluarkan geran tanah. Ini adalah kerana kos pembayaran pampasan pengambilan tanah adalah dibayar oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya.


Berkaitan dengan pindah milikan kepada Public Listed Company, hakmilik NT/FR boleh ditukar kepada hakmilik CL tertakluk kepada peruntukan di bawah Seksyen 75, Ordinan Tanah (Sabah, Bab 68).


“Bagaimanapun, polisi semasa Kerajaan Negeri adalah memberikan kebenaran penukaran syarat hakmilik NT/FR kepada syarat hakmilik CL hanya untuk tujuan pembangunan seperti pembangunan Perumahan, Komersial, Industri, pelancongan dan pembangunan lain.


“Berdasarkan rekod Jabatan Tanah dan Ukur, tidak berlaku penukaran hakmilik NT/FR bersyarat pertanian kepada hakmilik CL bersyarat pertanian secara besar-besaran dan dipindah milik kepada Public Listed Company.


“Walau bagaimanapun, Public Listed Company boleh memegang kepentingan (Interest) dalam hakmilik NT/FR melalui pajakan kecil (Sublease) di bawah Seksyen 17 (5) Ordinan Tanah (Sabah, Bab 68). Tempoh pajakan kecil (Sublease) adalah tidak melebihi tempoh yang dibenarkan dalam Ordinan Tanah (Sabah, Bab 68). Hak pemilikan hakmilik NT/FR masih kekal atas nama anak negeri yang berkenaan,” katanya.


Hajiji berkata, pengukuran lot tanah Program PANTAS di kampung Kiau Taburi di Kota Belud telah bermula pada 1 Oktober 2019 dan selesai pada 30 Jun 2020.


Katanya, sebanyak 353 lot tanah pendudukan berjaya diukur dengan jumlah keluasan 231.658 hektar. Sebanyak 127 lot telah disediakan geran tanah dan diserahkan kepada pemohon-pemohon tanah yang terlibat. Manakala baki 226 lot lagi akan dapat disediakan geran deraf sebelum akhir tahun 2021.