KERAJAAN HARI INI PERLU BUKTIKAN MEREKA BOLEH SELESAIKAN MASALAH PATI: EWONKERAJAAN HARI INI PERLU BUKTIKAN MEREKA BOLEH SELESAIKAN MASALAH PATI: EWON
top of page
  • Wartawan Nabalu News

KERAJAAN HARI INI PERLU BUKTIKAN MEREKA BOLEH SELESAIKAN MASALAH PATI: EWON


16 Nov 2020

Oleh Wartawan Nabalu News

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri hari ini perlu buktikan mereka boleh selesaikan masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick.

Beliau berkata, ini kerana isu PATI telah banyak digunakan dalam pilihanraya lepas sehingga adanya tohmahan kerajaan terdahulu adalah mesra PATI.

“Hakikatnya masalah PATI dan kebocoran sempadan negeri sudah berlaku sekian lamanya.

“Tuan Yang Terutama juga telah menyatakan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam aspek keselamatan dan masalah PATI. Hari ini kita ingin melihat Kerajaan Negeri dapat menyelesaikan masalah PATI ini,” katanya.

Ewon yang juga Naib Presiden UPKO berkata, puluhan ribu pendatang asing tanpa izin telah diberikan Kad Burung-Burung sewaktu Kerajaan Berjaya, dan Kad Bancian semasa Kerajaan PBS. Kemudian Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Imigresen pula mengeluarkan dokumen IMM13 kepada pendatang asing.

“Kita juga telah mendengar dan mengetahui pengakuan Jabar Khan dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat Mengenai Integriti bahawa ratusan lebih pendatang asing telah didaftarkan sebagai pengundi di Sabah oleh Umno Task Force pada tahun 1991.

“Hari ini, kita berhadapan dengan isu stateless children pendatang asing dan ketiadaan dokumen kanak-kanak melibatkan salah satu ibu atau bapanya adalah pendatang asing. Laporan Suruhanya Siasatan Diraja (RCI) Mengenai Pendatang Asing di Sabah telah mendedahkan banyak kecelaruan mengenai masalah ini,” katanya.

Beliau berkata, Perdana Menteri hari ini semasa menjadi Menteri Dalam Negeri telah mencadangkan pemberian Pas Sementara Sabah (PSS) tetapi Kerajaan Negeri pada masa itu pula yang dituduh mesra PATI.

“Kerajaan Negeri pimpinan Yang Berhormat Senalang akhirnya telah menolak cadangan PSS tersebut. Kini kita mahu solusi yang mahu dilaksanakan oleh Kerajaan hari ini,” katanya.

Ewon berkata, walaupun kesemua 73 Adun Sabah berbeza parti politik, pendirian, prinsip dan pandangan namun mereka mempunyai persamaan untuk bekerjasama berjuang mendapatkan hak rakyat Sabah dalam Perjanjian Malaysia, untuk pembangunan dan kemudahan infrastruktur, keamanan, keselamatan dan perpaduan rakyat Sabah.

“Peranan semak dan imbang tidak bererti kita membangkang setiap masa. Kita sokong apa yang betul, kita sanggah yang salah, kita buat apa yang wajar. Kita boleh terus cemerlang bersama untuk rakyat Sabah,” katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page