Kerajaan harus adil dalam isu kewarganegaraan bagi anak yang lahir di luar negara : AzalinaKerajaan harus adil dalam isu kewarganegaraan bagi anak yang lahir di luar negara : Azalina
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kerajaan harus adil dalam isu kewarganegaraan bagi anak yang lahir di luar negara : Azalina



29 Sept 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Azalina Othman Said meminta kerajaan untuk berlaku adil berhubung isu kewarganegaraan bagi anak yang lahir di luar negara.


Azalina berkata, kerajaan perlu berlaku adil kepada semua dalam soal memberi kewarganegaraan automatik kepada bayi yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan pasangan negara asing.


Beliau mempersoalkan mengapa kerajaan masih hendak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur walhal perkara tersebut sudah pun diluluskan oleh pihak Mahkamah Tinggi sendiri.


“Saya sampai hari ni tak faham. Tuan Yang di-Pertua (Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun) pun peguam, saya pun peguam… kita pun agaknya dua-dua pun tak faham. Saya tak tahu apa ruginya Tuan Yang di-Pertua?


“Kalau kita nak berlaku adil, saya nak maklumkan kepada Perdana Menteri, sahabat-sahabat Menteri berlakulah adil kepada semua.


“Kalau ibu tak dapat, bapa juga jangan bagi. Kenapa ibu tak boleh bapa boleh? Seolah-olah wanita di Malaysia ini ada banyak kurangnya dari lelaki,” katanya semasa sesi perbahasan Rancangan Malaysia ke-12, di Dewan Rakyat, hari ini.


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 September lalu memutuskan bahawa bayi yang dilahirkan di luar negara oleh wanita warga Malaysia hasil perkahwinannya dengan lelaki bukan rakyat negara ini secara automatik berhak mendapat kerakyatan.


Bagaimanapun, pihak kerajaan mengemukakan rayuan kepada mahkamah tinggi untuk membatalkan keputusan berkenaan pada 13 September.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page