Kerajaan jimat RM100 juta sebulan, tingkat inisiatif, kebajikan rakyat dengan penamatan subsidi ayam
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kerajaan jimat RM100 juta sebulan, tingkat inisiatif, kebajikan rakyat dengan penamatan subsidi ayam


31 Oktober 2023

Oleh Wartawan NAbalu News


KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menggunakan penjimatan sebanyak RM100 juta sebulan yang diperoleh daripada penamatan subsidi dan kawalan harga ayam untuk meningkatkan pelbagai inisiatif sosioekonomi dan kebajikan rakyat termasuk bantuan tunai.


Ini dijelaskan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi siaran soalan lazim penamatan subsidi ayam.


Menurut KPKM, penjimatan itu juga dapat digunakan bagi memperkasa industri penternakan ayam melalui bantuan insentif dari segi pembiayaan dana pusingan kepada penternak bersaiz kecil dan sederhana serta skim mikro kredit sebagai bantuan modal pusingan kepada penternak komuniti dan program transformasi reban ayam terbuka kepada reban ayam tertutup.


KPKM menyatakan langkah penamatan subsidi secara pukal bagi ayam adalah bagi mengurangkan ketirisan subsidi yang turut dinikmati warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.


Sementara itu, KPKM menyebut kerajaan buat masa ini memutuskan untuk meneruskan subsidi dan mengawal harga telur supaya tidak membebankan rakyat dan dasar itu akan dikaji semula apabila bekalan serta kos pengeluaran telur stabil sepenuhnya.


Mengenai harga ayam selepas subsidi ditamatkan pada 1 Nov ini, KPKM menyebut harga sekilogram ayam pada peringkat runcit di kawasan luar bandar dijangka masih sekitar RM10.40 satu kilogram (kg), namun harga ayam di peringkat hypermarket atau pasar raya besar dijangka tidak akan melebihi RM9.40 satu kg.


"Walaupun sebelum ini kerajaan menetapkan harga ayam tidak boleh dijual melebihi RM9.40 sekilogram, tetapi peniaga di peringkat runcit telah mengenakan caj pemotongan antara RM1 ke RM2 satu kg, menjadikan harga belian ayam menjadi RM10.40 sekilogram," menurut KPKM.


Bagi membantu pengguna di kawasan luar bandar, KPKM menyebut kerajaan akan menganjurkan Jualan Agro Madani dan Jualan Rahmah di seluruh negara dengan harga jualan ayam akan kekal kompetitif dan tidak membebankan rakyat.


KPKM juga menjelaskan bahawa sekiranya berlaku kenaikan mendadak akibat kekurangan bekalan, kerajaan telah bersedia untuk mengimport ayam dari sumber negara luar bagi mencukupkan bekalan dalam negara.


"Namun begitu, jika berlaku kenaikan mendadak, kerajaan boleh mengenakan kawalan harga bersekali dengan subsidi atau tidak bersubsidi," menurut KPKM.


Selain itu, KPKM juga memaklumkan perbezaan harga ayam standard dan ayam super selepas langkah pengapungan harga itu, serta harga ayam di Sabah, Sarawak dan Labuan selepas pengapungan itu.


"Apabila diapungkan, harga di wilayah-wilayah ini dijangka mengalami sedikit penyelarasan di peringkat pasaran pengeluar, borong dan juga runcit. Bagaimanapun, harganya dijangka kekal stabil jika bekalan bahan ini mencukupi dan tiada gangguan di peringkat pengeluaran," kata kementerian itu.


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page