Kerajaan MADANI tubuh Komuniti Media MADANI, sebar maklumat sahih
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kerajaan MADANI tubuh Komuniti Media MADANI, sebar maklumat sahih


3 Nov 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI akan membentuk satu Komuniti Media MADANI yang merangkumi jentera parti-parti penyokong kerajaan, bagi memastikan maklumat yang sahih dan tepat berkenaan dasar-dasar kerajaan dapat disebarkan kepada rakyat.


Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata inisiatif itu digerakkan memandangkan sejak kebelakangan ini terdapat pihak tertentu yang mahu menenggelamkan usaha-usaha dan ikhtiar kerajaan secara tersusun terutamanya menerusi pelbagai saluran media sosial.


"Antara tujuan dan matlamat kita bentuk Komuniti Media MADANI ini adalah untuk memastikan kita dapat menjalin hubungan yang erat sesama kita.


“Dengan hubungan yang erat itu, lebih banyak maklumat dapat kita sampaikan di samping kita boleh dengan mudah 'cross check' beberapa perkara dan lebih pantas kita respon kepada perkara ini," katanya ketika berucap di Forum Belanjawan 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC).


Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi Strategik Kerajaan Perpaduan berkata serangan di media sosial terhadap kerajaan datang dari pelbagai saluran dan berlaku pada bila-bila masa.


Justeru katanya Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) telah melakukan beberapa perkara bagi menangani perkara itu termasuk memanggil pengendali platform media sosial yang selama ini enggan memberi kerjasama dengan kerajaan.


"Tujuannya bukan untuk menekan atau menzalimi sesiapa, tetapi kita ingin pastikan kebebasan media itu wujud, kebebasan suara itu ada dan dapat dinikmati, tapi bukan kebebasan menyebar fitnah, buruk sangka yang tidak berasas," katanya.


Sementara itu Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said di dalam ucapannya berkata Komuniti Media MADANI diwujudkan sebagai satu platform penggerak parti mendapatkan info terkini dan sahih mengenai kerajaan MADANI.


"Komuniti media MADANI yang kita ingin wujudkan di peringkat-peringkat negeri ini, kita nak supaya jentera kita dapat maklumat yang paling sahih untuk kita salurkan bagi atasi persepsi politik yang salah. Penting untuk mendapatkan berita atau maklumat yang sahih kerana ada beberapa maklumat berat sebelah dan boleh mengelirukan rakyat," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page