top of page
nabalunews

Kerajaan MADANI Tumpu Pembangunan Negara, Tidak Layan Kenyataan Picisan - PM Anwar




23 November 2024


KUALA LUMPUR : Kerajaan MADANI kekal komited dalam melaksanakan inisiatif pembangunan negara dan enggan melayan kenyataan remeh yang tidak menyumbang kepada usaha tersebut, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Katanya tumpuan utama kerajaan adalah pada agenda pembangunan negara yang inklusif, memperkukuhkan asas ekonomi, serta memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara, selaras dengan aspirasi MADANI untuk mencipta masa depan yang lebih sejahtera dan berdaya tahan bagi semua lapisan masyarakat.


“Kita diiktiraf bukan kerana Perdana Menteri tetapi kerana negara ini aman, negara ini pacu pertumbuhan dan pasukan itu bersuara dengan sederap satu nada.


“Kalau sebut permasalahan Gaza dan Palestin, suara kita didengar, tapi sementara satu dunia iktiraf, masih ada suara keliru (seolah-olah) menyokong Israel,” kata beliau seperti dilaporkan Bernama.


Sementara itu, Perdana Menteri menyelar tindakan sesetengah pihak yang mempertikaikan usaha kerajaan melaksanakan program secara telus dan bersih.


Mengambil contoh lawatan beliau baru-baru ini, Anwar berkata kerajaan menganjurkan syarikat swasta yang berpotensi melabur serta sedang melabur untuk menyertai rombongan, sekali gus membayar kos.


“Mereka menyertai rombongan dan bayar kos. Itu pun jadi salah?. Jadi negara ini, kalau kita layan sangat, yang curi, yang rompak dan yang sakau itu dipuja.


“Tetapi yang kita cuba jalankan program secara bersih itu dicerca,” kata beliau dan menambah antara syarikat menyertai rombongan itu ialah Petronas, Proton dan syarikat semikonduktor.


Terdahulu, Anwar serta dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, menyaksikan pemeteraian Deklarasi Kuala Lumpur-Tekad Bersama Perkhidmatan Awam Malaysia.


Deklarasi yang dilancarkan pada Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 hari ini, dimeterai oleh semua pentadbiran kerajaan negeri, mencerminkan komitmen penjawat awam seluruh negara untuk menyokong sepenuhnya agenda reformasi perkhidmatan awam.

Comentarios


bottom of page