Kerajaan masih terbuka untuk mencari MH370 jika ada petunjuk baharu

15 Jun 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia masih berharap untuk mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014, jika ada bukti baharu yang sahih dan kukuh.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, setakat ini, Kementerian Pengangkutan tidak memperoleh sebarang maklumat atau petunjuk baharu yang boleh membolehkan operasi pencarian disambung semula.
“Kerajaan tidak akan mengabaikan aspirasi untuk mencari pesawat itu. Sekiranya terdapat maklumat atau petunjuk baharu yang sahih dan kukuh diperoleh, maka operasi pencarian selanjutnya akan dipertimbangkan oleh Kerajaan,” katanya dalam jawapan lisan di Dewan Rakyat, pada Rabu.
Beliau menjawab soalan daripada Chong Zhemin (PH-Kampar) yang bertanya sama ada Kerajaan Malaysia akan meneruskan usaha mencari serpihan MH370 memandangkan terdapat syarikat “Ocean Infinity” yang memberi komitmen untuk meneruskan carian, dengan tiada fi yang akan dikenakan jika carian tidak berjaya.
Loke berkata, sebarang perbincangan lanjut berhubung penyambungan semula operasi pencarian pesawat MH370 akan diadakan dengan Kerajaan China dan Australia berdasarkan bukti yang boleh dipercayai, yang mungkin membawa kepada pencarian baharu bagi pesawat yang hilang itu.
Pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 kru hilang dari imbasan radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.
Pada Mei 2018, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan memutuskan pencarian pesawat MH370 di selatan Lautan Hindi dihentikan memandangkan ia sudah memakan tempoh carian yang panjang.
ความคิดเห็น