• nabalunews

Kerajaan melakukan penderhakaan ke atas KDYMM Tuanku YDPA, khianat serta jenayah ke atas demokrasi


29 Julai 2021


1. Kami, Ahli-Ahli Dewan Negara, Parlimen Malaysia memandang serius titah KDYMM Tuanku YDPA sepertimana yang dizahirkan menerusi kenyataan media Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara pada hari ini, 29 Julai 2021. Kami memahami bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah jelas telah MURKA di atas kenyataan yang dibuat oleh pihak kerajaan semasa Sidang Khas Dewan Rakyat melalui YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen Dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada 26 Julai 2021 bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimahsyurkan oleh baginda Tuanku sepanjang tempoh darurat, sedangkan pembatalan tersebut belum lagi mendapat perkenan KDYMM Tuanku.


2. Sejak awal, pihak kami berpendirian bahawa kuasa pembatalan tersebut adalah merupakan kuasa KDYMM Tuanku YDPA sepertimana yang termaktub dalam Perkara 150 (2B) dan Perkara 150 (3). Justeru, tindakan penderhakaan yang dilakukan oleh pihak kerajaan dan khususnya oleh Speaker Dewan Rakyat sendiri bermula daripada hari pertama Sidang Khas Dewan Rakyat yang jelas telah "menghalang" daripada berlakunya proses Usul, Perbahasan dan Pengundian terhadap Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat sepertimana yang dititahkan KDYMM Tuanku adalah merupakan satu percubaan jahat memandulkan fungsi Parlimen. Tindakan ini juga secara tidak langsung merupakan satu percubaan memudaratkan Demokrasi Berparlimen di Malaysia dan merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 124B, Kanun Keseksaan. Ia juga sekaligus satu bentuk kesalahan terhadap kuasa-kuasa KDYMM Tuanku YDPA sepertimana dalam Seksyen 121B

Kanun Keseksaan.


3. KDYMM Tuanku YDPA dan Majlis Raja-Raja Melayu dalam beberapa kenyataan terdahulu, termasuklah kenyataan pada hari ini jelas konsistan menggesa agar Parlimen kembali berfungsi sebagai mekanisma dan platform semak imbang tata kelola serta perjalanan pentadbiran kerajaan.


4. Meneliti keseluruhan kenyataan media Istana Negara itu, kami merumuskan bahawa kerajaan secara kolektif telah GAGAL mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap segala yang telah dititahkan oleh KDYMM Tuanku YDPA. Kegagalan ini adalah satu penderhakaan dan penghinaan lengkap terhadap Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang telah diamalkan

oleh Malaysia sejak sekian lama.


5. Kerajaan Perikatan Nasional seolah-olah telah bergerak membawa Malaysia ke arah kehancuran total, setelah setahun lebih kita melalui krisis kesihatan, krisis ekonomi, krisis sosial dan krisis politik yang tidak kelihatan jalan keluarnya meskipun Darurat telah dikuatkuasakan. Kini mereka mencetuskan pula satu lagi krisis besar iaitu krisis sistem dan perlembagaan negara pada saat negara masih bertarung dengan perang melawan pandemik, sementelah kebajikan sebahagian “frontliners” kita khususnya Doktor-Doktor kontrak yang berkhidmat di hospital-hospital kerajaan masih gagal diberi keadilan. Belum pernah berlaku dalam sejarah negara, Malaysia diheret seteruk ini serentak dalam semua sudut ekonomi, sosial, politik dan perlembagaan.


6. Kami percaya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) ini sudah kehilangan legitimasi untuk terus mentadbir negara. Perdana Menteri dan seluruh anggota kabinet hendaklah bertanggungjawab secara kolektif terhadap tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) sepertimana yang diperuntukkan dalam Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan. Perdana Menteri dan seluruh Anggota Kabinet WAJIB meletakkan jawatan atas kegagalan kolektif untuk mempertahankan Institusi KDYMM Tuanku YDPA, Institusi Parlimen dan Perlembagaan itu sendiri.


7. PN bukan sahaja telah gagal menguruskan pandemik, bahkan telah mengambil kesempatan mempergunakan pandemik Covid-19 untuk merampas demokrasi dan terus berkuasa melalui proklamasi darurat yang hari ini ternyata gagal mencapai objektif yang telah ditetapkan, walaupun selepas enam bulan mereka diberi peluang untuk membuktikannya. Ironinya, dengan lebih sejuta angka kes pesakit Covid-19 dan lebih lapan ribu kehilangan nyawa, Malaysia kini berada pada kedudukan terburuk dalam sejarah dan kesan pandemik ini. Negara dan rakyat Malaysia berhak memiliki sebuah kerajaan dan pasukan pentadbiran yang lebih baik dan kompeten.



#KeluhuranPerlembagaan

#DaulatTuankuRajaBerperlembagaan

#KembalikanDemokrasiBerparlimen

#SelamatkanMalaysia



Kenyataan Bersama :


SENATOR HJH RAJ MUNNI SABU (Ketua Sekretariat)

(Merangkap Anggota Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara)


SENATOR DATUK THEODORE DOUGHLAS

(Merangkap Anggota Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara)



SENATOR ISMAIL YUSOP

SENATOR DR YAAKOB SAPARI

SENATOR DATO DONALD PETER MOJUNTIN

SENATOR DATUK HUSAM MUSA

SENATOR MOHD YUSMADI MOHD YUSOFF

SENATOR MANOLAN MOHAMAD

SENATOR LAKSAMANA (B) MOHD IMRAN ABDUL HAMID

SENATOR DR AHMAD AZAM HAMZAH

SENATOR LIM HUI YING

SENATOR NGA HOCK CHEH

SENATOR ALAN LING SIE KIONG

SENATOR ADRIAN BANIE LASIMBANG

SENATOR KESAVADAS ACHYUTHAN NAIR

SENATOR SURESH SINGH