Kerajaan negeri akan bantu usahawan belia terjejas Covid-19: Hajiji

8 November 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Kerajaan akan membantu golongan usahawan belia dan beliawanis di negeri ini yang terkesan dengan pandemik Covid-19 melalui skim bantuan dana khusus.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, selain itu beberapa inisiatif baharu yang memfokuskan kepada pembangunan modal insan membabitkan belia akan diperkenalkan.
Beliau berkata, antaranya inisiatif pembangunan pemerkasaan latihan kemahiran dalam bidang teknologi, teknikal dan perdagangan melalui Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM).
“Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk menambah baik dan meningkatkan keberkesanan strategi serta pendekatan dalam inisiatif yang memfokuskan pembangunan modal insan dalam kalangan belia di negeri ini.
“Kita sentiasa terbuka untuk mendengar aspirasi anak-anak muda di negeri ini. Atas faktor itu, dalam Belanjawan Sabah 2022 yang akan dibentangkan pada 3 Disember ini, kita akan memperkenalkan beberapa inisiatif baharu yang dirangka dengan berpandukan syor dan pandangan kelompok sasar melalui pelbagai platform libat urus yang telah dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Sabah 2021 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Sabtu.
Hajiji berharap cadangan pelaksanaan Program Inkubator Kepimpinan Belia Sabah (IKeBS) dapat diinstitusikan sebagai salah satu program teras pembangunan modal insan dalam kalangan belia di negeri ini.
“Saya amat tertarik dengan cadangan pelaksanaan IKeBS yang dirancang bersama Kementerian Belia dan Sukan Sabah dan Majlis Belia Sabah.
“Saya juga berharap pelaksanaan program rintis ini dapat dipantau dengan rapi,” katanya.
Katanya lagi, Kerajaan Negeri turut memperkenalkan Program Felo Belia Felo Sabah Maju Jaya (Felo SMJ), sebagai salah satu strategi untuk memberikan pendedahan dan membina potensi serta ketrampilan diri belia di negeri ini.
“Program ini bertujuan memberi peluang kepada belia yang terpilih melalui saringan kelayakan untuk mendapat bimbingan langsung daripada menteri dan pengurusan tertinggi kementerian serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri ini.
“Melalui program ini, Felo Belia SMJ akan ditempatkan sebagai pelatih dalam agensi kerajaan dan GLC selama setahun untuk mendapat pendedahan alam kerjaya termasuk berkaitan pengurusan sesebuah kementerian dan GLC. Program ini akan bermula pada Januari 2022,” katanya.