top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kerajaan negeri gesa operasi bersama ditingkatkan, tangani jenayah rentas sempadan



31 Oktober 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menggesa pasukan dan agensi keselamatan negara untuk meningkatkan operasi bersama dalam menangani pelbagai aktiviti jenayah di darat dan laut di negeri ini.


Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ini kerana perairan Sabah yang luas serta bersempadan dengan negara jiran, boleh mengundang pelbagai aktiviti jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan dadah, rokok dan barangan bersubsidi.


"Kerajaan negeri amat menghargai usaha Maritim Malaysia dan bersedia memberi kerjasama dalam apa jua perkara dan menjadikan agenda utama dalam memastikan kedaulatan dan keselamatan negara, khususnya di Sabah terjamin," beliau berkata demikian ketika merasmikan Eksesais Maritim Perkasa Timur 2/2023 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di sini semalam.


Jelas beliau, eksesais itu dapat meningkatkan lagi kecekapan Maritim Malaysia dalam membantu mengawal keselamatan di perairan negara khususnya di Sabah.


"Saya berharap latihan bersepadu dalam operasi bersama antara pasukan dan agensi keselamatan negara dipertingkatkan," katanya.


Hajiji berkata eksesais itu juga untuk menguji kecekapan pegawai dan anggota terlibat dalam merancang, melaksanakan eksesais serta operasi sebenar pada masa akan datang disamping memperagakan kehadiran di Laut China Selatan khususnya di perairan Sabah.


Tambah beliau, eksesais itu juga berteraskan konsep elemen cegah rintang yang merupakan satu daripada teras strategik maritim melalui pencegahan pelanggaran undang-undang di laut dengan menunjukkan kehadiran aset-aset Maritim Malaysia Di Zon Maritim Malaysia.


"Eksesais ini dilaksanakan merangkumi perairan Kota Kinabalu dan Gugusan Semarang Peninjau di perairan negeri Sabah, Beting Patinggi Ali, Hampasan Dang Ajar dan Beting Raja Jarum hingga ke Perairan Kuching di perairan Negeri Sarawak," katanya.

ความคิดเห็น


bottom of page