Kerajaan negeri hadapi cabaran pengiraan amaun Pemberian Khas
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kerajaan negeri hadapi cabaran pengiraan amaun Pemberian Khas


22 April 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri berhadapan dengan cabaran dan kekangan dalam pengiraan amaun Pemberian Khas ekoran data kewangan Kerajaan Persekutuan yang tidak lengkap, kata Pembantu Menteri Kewangan II Tan Lee Fatt.


Beliau berkata, pelbagai kaedah dan inisiatif telah dilakukan untuk mendapatkan data-data tersebut daripada Kerajaan Persekutuan.


“Kerajaan Negeri telah mengemukakan lapan surat permohonan perkongsian data kepada Kerajaan Persekutuan sejak Januari tahun 2022, namun Kerajaan Persekutuan masih belum membekalkan data sehingga kini

kecuali daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia.


“Oleh itu, Jawatankuasa Penyemakan Nilai Pemberian Khas Negeri Sabah telah mencadangkan agar Kerajaan Negeri mengambil pendekatan untuk membuat tuntutan secara berfasa dengan strategi rundingan yang

akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri pada waktu yang ditentukan nanti,” katanya.


Beliau menjawab serentak soalan Datuk Ewon Benedick (Kadmaian) dan Datuk Bun Moktar (Lamag), dalam sesi soal jawab pada persidangan dewan undangan negeri, di sini, hari ini.


Ewon bertanya adakah kerajaan telah mengenal pasti hasil-hasil persekutuan di Sabah dan berapakan jumlah setiap hasil tersebut dan adakah tuntutan secara rasmi telah dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan bagi menuntut pembayaran 40% di bawah Perkara 112C Perlembagaaan Persekutuan.


Tan Lee Fatt berkata, Kerajaan Negeri Sabah berpegang teguh untuk mengekalkan formula asal Pemberian Khas seperti yang termaktub di

Perkara 112C dan Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan iaitu dua per lima atau 40% daripada Hasil Bersih Persekutuan di Sabah.


Katanya, sejak rundingan ke atas amaun Pemberian Khas dimulakan, Kerajaan Persekutuan telah membayar RM125.6 juta pada tahun 2022 dan RM300 juta pada 2023 yang mana Kerajaan Negeri bersetuju menerima bayaran tersebut sebagai penyelasaian secara interim.


“Suka saya ingatkan bahawa perkara mengenai Pemberian Khas ini masih dalam proses rundingan, saya yakin dan percaya rundingan Kerajaan Persekutuan dan Negeri akan membuahkan hasil yang kita nantikan sekian lama untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat di negeri

ini.


“Bagaimanapun, apabila tempoh rundingan satu tahun ini tamat dan jika rundingan tersebut gagal mencapai sebarang persetujuan, maka Kerajaan Negeri mempunyai pilihan untuk melantik seorang pentaksir bebas selaras

dengan Perkara 112D(6) Perlembagaan Persekutuan,”katanya.


Beliau turut menegaskan bahawa soal memperjuangkan hak-hak negeri Sabah, tiada titik noktah apatah lagi mengenai hak-hak yang telah pun dipersetujui di bawah Perjanjian Malaysia 1963.


Katanya lagi, di bawah Kerajaan Persekutuan pada masa kini, menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) diadakan pada 18 Julai 2023.


‘Keputusan yang dicapai adalah Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah akan meneruskan rundingan bagi memuktamadkan formula Pemberian Khas. Tempoh masa rundingan adalah satu tahun bermula daripada tarikh mesyuarat ini iaitu 18 Julai 2024.


“Lanjutan daripada itu, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Penyemakan Nilai Pemberian Khas Negeri Sabah bagi tujuan menyemak dan memuktamadkan nilai amaun Pemberian Khas.


“Jawatankuasa ini dipengerusikan bersama oleh Peguam Besar Negeri Sabah serta Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Negeri Sabah.


“Ahli-ahli Jawatankuasa juga terdiri daripada Penasihat Undang-undang Kepada Ketua Menteri, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri, Bendahari Negeri dan seorang Penasihat Bebas,” katanya.

bottom of page