Kerajaan Negeri sedia kaji tambah peruntukan pembangunan DUN
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kerajaan Negeri sedia kaji tambah peruntukan pembangunan DUN



10 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Kerajaan Negeri Sabah akan membuat kajian semula untuk menambah dana atau peruntukan pembangunan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berdasarkan kemampuan kewangan negeri.


Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa prihatin dan komited untuk membolehkan semua wakil rakyat dapat melaksanakan tanggungjawab membangun dan menyantuni rakyat di kawasan masing-masing.


"Sememangnya, peruntukan pembangunan disediakan oleh Kerajaan Negeri kepada semua kawasan DUN setiap tahun. Peruntukan ini adalah diselaras dan dipantau oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah," katanya ketika menjawab pertanyaan Datuk Abdul Ghani Mohd. Yassin pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.


Abdul Ghani bertanya apakah pihak Kementerian Kewangan akan mengkaji semula dan bercadang untuk menambah dana atau peruntukan pembangunan di setiap kawasan DUN.


Masidi berkata, di bawah pentadbiran Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), sejak tahun 2021, peruntukan kepada setiap kawasan DUN Kerajaan telah dinaikkan sebanyak RM1 juta untuk melaksanakan projek infrastruktur kecil dan Program Sentuhan Kasih.


"Pada tahun 2021, sejumlah RM1 juta telah diperuntukkan kepada setiap ADUN Kerajaan dengan agihan RM700,000 untuk melaksanakan projek infrastruktur kecil dan RM300,000 untuk Program Sentuhan Kasih.


"Manakala pada tahun 2022, peruntukan kepada setiap ADUN Kerajaan telah dinaikkan kepada RM2 juta iaitu dengan agihan RM1,500,000 untuk melaksanakan projek infrastruktur kecil dan RM500,000 untuk Program Sentuhan Kasih.


"Pada tahun 2023 pula, sejumlah RM3 juta telah diperuntukkan kepada setiap ADUN Kerajaan iaitu dengan agihan RM2,500,000 untuk melaksanakan projek infrastruktur kecil dan RM500,000 untuk Program Sentuhan Kasih," katanya.


Dalam pada itu, beliau berharap semua wakil rakyat dapat memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan kawasan yang diwakili membangun dalam pelbagai aspek termasuk tahap ekonomi dan taraf hidup rakyat.



photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page