• Marryan Razan

Kerajaan negeri tamatkan perjanjian lesen SFI


23 Sept 2021

Oleh Marryan Razan


KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri telah membuat keputusan untuk menamatkan Perjanjian Lesen SFI bermula 1 September 2021 atas dasar kepentingan awam.


Ketua Menteri Datuk Hajiji Haji Noor berkata, ia sekaligus membebaskan kawasan konsesi tersebut daripada sebarang ikatan dengan Receiver and Manager (R&M) dan Perjanjian Jual Beli yang tidak ada penyelesaian sehingga kini.


“Kawasan konsesi lesen tersebut adalah hak Sabah yang tidak boleh digadaikan dan kita mempunyai hak untuk menentukan penggunaan sumber hutan simpan tersebut sebaiknya demi kepentingan umum, khususnya para pekerja dan rakyat Sabah umumnya.


“Kerajaan Negeri kini sedang mengambil beberapa strategi dan tindakan untuk memulakan operasi huluan (kawasan konsesi) dan industri hiliran bagi kawasan tersebut.


“Strategi dan tindakan-tindakan tersebut akan dilaksanakan dengan segera agar sumber hutan dapat diurus, kilang-kilang dapat diaktifkan semula dan para pekerja SFI yang terjejas diberikan peluang pekerjaan semula (reinstated) sebaik mungkin,” katanya dalam ucapan penggulungan pada persidangan dewan undangan negeri, di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.