top of page

Kerajaan negeri terus beriltizam tangani isu kahwin muda di Sabah - Flovia

  • nabalunews
  • Aug 2, 2025
  • 2 min read

1 Ogos 2025


KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah terus beriltizam menangani isu perkahwinan awal dalam kalangan kanak-kanak dan remaja menerusi pelbagai program berimpak tinggi.


Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Flovia Ng berkata, usaha bersepadu antara kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) dan agensi seperti Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menerusi program seperti Program Isu Perkahwinan Awal Kanak-kanak (MIPA) penting dalam memperkasa institusi keluarga serta membina daya tahan masyarakat berdepan cabaran sosial dan ekonomi masa kini.


“Perkahwinan awal dan kehamilan remaja merupakan cabaran utama di Sabah yang sering didorong oleh tekanan budaya, kemiskinan, kekurangan akses pendidikan dan pengetahuan kesihatan reproduktif. Jika tidak ditangani, ia boleh mencetuskan kitaran kemiskinan dan keciciran pendidikan yang menjejaskan pembangunan generasi muda.


"Peningkatan kehamilan tidak dirancang dan tekanan emosi dalam kalangan ibu muda memerlukan pelaksanaan intervensi bersasar, pendidikan kesihatan reproduktif yang komprehensif serta akses mudah kepada khidmat kaunseling inklusif," katanya ketika berucap merasmikan Seminar Kependudukan Negeri Sabah 2025, sempena sambutan Hari Penduduk Sedunia 2025 di sini, pada Khamis.


Tambah beliau, jurang ketidaksamarataan sosial antara bandar dan luar bandar di Sabah masih ketara, dengan ramai keluarga pedalaman berdepan kekurangan kemudahan asas, pendidikan, kesihatan dan peluang pekerjaan.


“Sabah turut berhadapan dengan peralihan demografi apabila peratusan warga emas kini mencecah 9.0 peratus. Kadar kesuburan negeri juga merosot ke paras 1.5 anak bagi setiap wanita usia reproduktif (15-49 tahun), jauh di bawah paras penggantian 2.1 anak. Ini memberi kesan besar kepada struktur penduduk dan pembangunan ekonomi masa hadapan.


"Isu kependudukan hari ini adalah satu krisis semasa yang memerlukan perhatian dan tindakan segera di peringkat nasional,"jelasnya.


Selain itu, pelbagai inisiatif turut dilaksanakan seperti program pendidikan keibubapaan, kaunseling keluarga dan pembangunan keluarga berdaya tahan dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan, NGO dan pemimpin komuniti.


"Peranan institusi keluarga juga amat penting dalam membentuk keperibadian anak-anak sejak dari awal. Ibu bapa hari ini berdepan cabaran yang jauh berbeza berbanding dahulu, terutamanya dalam mendidik anak-anak dalam era digital, media sosial dan kecerdasan buatan (AI).


"Oleh itu, kita juga harus menyediakan sokongan yang holistik kepada keluarga termasuk bimbingan keibubapaan, ruang sokongan psikososial dan dasar mesra keluarga di tempat kerja agar ibu bapa dapat memainkan peranan mereka dengan lebih berkesan," tambahnya.


Sambutan Hari Penduduk Sedunia 2025 kali ini disifatkan istimewa kerana buat pertama kali ia disambut di peringkat negeri dengan pelbagai pengisian termasuk forum khas mengenai kesan perkahwinan awal dan kepentingan data kependudukan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page