Kerajaan negeri tubuh jawatankuasa selaras pembangunan keusahawanan Sabah
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kerajaan negeri tubuh jawatankuasa selaras pembangunan keusahawanan Sabah


21 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kerajaan negeri telah meluluskan penubuhan satu Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawanan Negeri Sabah (JPPKNS) untuk memastikan program-program pembangunan keusahawanan di negeri ini berjalan dengan lancar dan berkesan.


Jawatankuasa itu juga akan menjadi platform untuk membincangkan isu-isu semasa yang berkaitan dengan keusahawanan dan menyelaras bantuan kewangan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri dan Persekutuan kepada usahawan-usahawan Sabah.


Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Phoong Jin Zhe, berkata penubuhan JPPKNS adalah selaras dengan hasrat Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Ewon Benedick.


"Penubuhan JPPKNS ini adalah selari dengan hasrat Menteri KUSKOP yang mahukan Kerajaan Negeri Sabah menubuhkan satu Jawatankuasa yang bertanggungjawab menyelaras program-program pembangunan keusahawanan, membincang dan merangka strategi untuk menangani isu-isu yang berkaitan pembangunan keusahawanan di Sabah," katanya dalam satu kenyataan.


Jelas beliau, objektif JPPKNS juga adalah untuk menyelaras halatuju pembangunan keusahawanan yang inklusif antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan, menjadi platform dalam membuat keputusan dasar dan menyelaras pelaksanaan program atau aktiviti di peringkat negeri bagi mengurangkan pertindihan.


"Objektif penubuhan jawatankuasa ini juga adalah bagi menyelaras langkah-langkah inisiatif untuk menangani isu, masalah dan cabaran bagi memperkasakan ekosistem keusahawanan dan mewujudkan pangkalan data usahawan," jelasnya.


Menurutnya, mesyuarat JPPKNS akan dipengerusikan oleh beliau sendiri manakala Timbalan Pengerusi adalah Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy dan Setiausaha JPPKNS adalah Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan.


Beliau juga berkata bahawa keanggotaan JPPKNS melibatkan 21 agensi dari Kerajaan Negeri dan Persekutuan yang bertanggungjawab ke atas pembangunan keusahawanan dan ekonomi.


"Menteri KUSKOP iaitu Menteri yang bertanggungjawab mengurus keusahawanan di peringkat Kerajaan Persekutuan, akan dijemput menjadi pengerusi bersama dalam JPPKNS dari masa ke semasa," katanya.


Beliau turut menyatakan bahawa satu unit urussetia akan diwujudkan untuk menjalankan tugas-tugas sebagai pusat rujukan, khidmat nasihat dan sumber maklumat berkaitan bantuan geran, program dan latihan yang disediakan oleh pelbagai agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan kepada usahawan-usahawan Sabah.


Jin Zhe berharap dengan penubuhan JPPKNS ini, ia akan dapat menerajui pembangunan keusahawanan di negeri Sabah dengan lebih berkesan dan berdaya saing.


Katanya, kerjasama erat antara semua pihak yang terlibat juga akan dapat meningkatkan agenda pembangunan sosio ekonomi negara yang seimbang dan mampan.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page