• Wartawan Nabalu News

Kerajaan perlu jelaskan dasar penyelesaian pendatang asing: Ewon


27 Januari 2022 Oleh Wartawan Nabalu News KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick menyatakan kerajaan perlu menjelaskan dasar mereka mengenai penyelesaian ke atas masalah kebanjiran pendatang asing di Sabah. Beliau berkata, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Bung Moktar Radin mengumumkan kerajaan negeri akan melaksanakan Program Khas Pendataan Pekerja Asing dan Bukan Pemastautin Negeri Sabah. “Sememangnya kita memerlukan data-data ini bagi merumus penyelesaian ke atas masalah yang telah berakar sejak sekian lama di Sabah, tetapi apakah dasar sebenar yang ingin dilaksana oleh kerajaan selain daripada program pendataan ini?

“Sebelum ini, sudah banyak program pemutihan dan program bancian atau pendataan yang sama. Kerajaan PBS dulu sehingga memberi sijil banci kepada pendatang asing. Apakah rekod-rekod sedia ada ini tidak dapat dikemaskini untuk menjejak keberadaan pendatang asing di Sabah? “Bagaimana pula dengan dokumen IMM13 yang digunakan oleh kerajaan hari ini, selepas cadangan PSS ditolak dan dibatalkan? Apakah dokumen IMM13 itu tidak dapat diguna untuk menjejak data terkini keberadaan pemegang dan benefisiari kad ini? “Datuk Bung juga bercakap mengenai pengenalan biometrik untuk setiap pekerja asing dan bukan pemastautin. Apakah nama pengenalan ini? Adakah ianya Pas Pekerja Asing, Pas Sementara, Pas Residen atau ada nama lain? Kerajaan harus jelaskan dasar mereka mengenai ini,” katanya. Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan perasmian serentak mesyuarat agung tritahunan cawangan-cawangan Upko Bahagian Kota Belud hari ini.

Ewon yang juga Naib Presiden Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) berkata bahawa dasar kerajaan tidak hanya melibatkan istilah-istilah baharu dalam penjenamaan program yang berkaitaan seperti menggantikan istilah bancian dan pemutihan dengan istilah pendataan. “Dahulunya, program bancian dibuat oleh kerajaan PBS dan mereka yang dibanci diberikan kad bancian. Kemudian semasa kerajaan BN memerintah, pas pekerja asing diberikan selepas program pemutihan dilaksanakan. Sekarang istilah pendataan diperkenalkan untuk tujuan yang sama iaitu mendapatkan data-data keberadaan pendatang asing di Sabah. “Tetapi apa yang akan dibuat oleh kerajaan selepas selesai program pendataan ini? Adakah akan diberi kad atau pas baharu dengan nama baharu menggantikan istilah lama seperti pas residen atau pas sementara yang pernah dicadangkan oleh Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Warga Asing Sabah sebelum ini? Atau adakah kerajaan akan menghantar balik pendatang asing ini ke negara asal? Ini yang perlu dijelaskan oleh kerajaan,” kata Ewon.

Beliau menambah pihak kerajaan dan penyokong kerajaan hari ini telah menggunakan propaganda “mesra pendatang asing” ke atas kerajaan negeri terdahulu selepas timbulnya cadangan Pas Sementara Sabah (PSS) daripada jawatankuasa teknikal tersebut bagus menggantikan cadangan terdahulu iaitu Pas Residen Sabah (PRS). “Kerajaan hari ini seolah-olah memakan diri dalam soal penyelesaian pendatang asing di Sabah. Semasa pilihanraya, mereka berkempen untuk menghantar balik kumpit-kumpit ke negara asal, tetapi hari ini pula sedang mencari pendatang-pendatang asing di Sabah untuk didatakab dan mungkin akan diberi pengenalan baharu oleh kerajaan. “Saya juga bertanyakan soalan tentang jumlah pendatang asing yang telah diberikan suntikan vaksin dan tindakan seterusnya yang akan diambil oleh kerajaan samada mahu menghantar balik ke negara asal tetapi tidak dapat dijelaskan semasa perbahasan di sidang DUN yang lepas. “Maka itu saya fikir kerajaan belum mempunyai dasar sebenar penyelesaian masalah pendatang asing di Sabah, atau jika ada, mereka perlu jelaskan dasar tersebut kepada rakyat tulen Sabah,” katanya.


Turut hadir Timbalan Ketua Bahagian Upko Kota Belud Carlye Lajimin, Ketua Pergerakan Generasi Muda Upko Joel Deukin dan ketua-ketua cawangan.


Hadir sama Naib Presiden Upko Datuk Basari Sarkun, Timbalan setiausaha Penganjur UPKO Carl Moosom dan Ahli Majlis Tertinggi Upko Petrus Jikuin dan Jimmy Barukang.