Kerajaan perluas skim Rent to Own bagi golongan B40 dan M40
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kerajaan perluas skim Rent to Own bagi golongan B40 dan M40



1 Nov 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Lebih ramai golongan B40 dan M40 akan dapat memiliki rumah dengan Kerajaan memperluaskan skim Rent to Own.


Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kerjasama dengan institusi kewangan akan diteruskan dalam menyediakan pakej pembiayaan perumahan yang menarik dan mampan.


Beliau berkata, kerajaan melalui Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) dan Syarikat Perumahan Negara (SPNB) menyediakan perumahan seperti program Kediaman SPNB dan Perumahan PR1MA bagi golongan M40 di seluruh Malaysia.


"Setakat ini, sejumlah 28,583 unit Kediaman SPNB telah siap dibina manakala 1,024 unit dalam pembinaan dan 531 unit dalam perancangan di seluruh negara," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat.


Beliau berkata, PR1MA juga telah membina sebanyak 35,454 unit Rumah Mampu Milik (RMM) manakala sebanyak 14,427 unit dalam pembinaan dan 3,765 unit dalam perancangan di seluruh negara setakat 15 Okt.


Jelas beliau, kerajaan telah bersetuju untuk menetapkan saiz keluasan yang baharu bagi Projek Perumahan Rakyat (PPR) seluas 750 kaki persegi dengan menetapkan standard minimum untuk setiap unit PPR tersebut dilengkapi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air.


"KPKT dengan hala tuju yang baharu juga menetapkan supaya PPR baharu yang dibina akan menjadi lebih bersepadu dengan kemudahan lain termasuk termasuk padang riadah, medan selera dan kedai serbaneka," katanya.


Selain itu, beliau berkata, pihaknya telah menyediakan inisiatif bagi meningkatkan pemilikan rumah dengan melaksanakan inisiatif i-Biaya.


"Inisiatif berkenaan merupakan jaminan pembiayaan melalui Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) khususnya pembeli rumah pertama termasuk mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau penyata gaji seperti golongan ekonomi gig," katanya.


Beliau berkata, sepanjang pelaksanaan SJKP mulai 2008 hingga 30 Sept lepas, sebanyak 30,841 permohonan pinjaman bernilai RM5.85 bilion telah diluluskan selain kerajaan melalui Belanjawan 2024 telah mencadangkan untuk menambah RM10 bilion jumlah jaminan bagi memanfaatkan 40,000 peminjam.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page