top of page
Wartawan Nabalu News

Kerajaan Perpaduan komited terhadap hal ehwal warga Sabah


2 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan sentiasa komited terhadap hal ehwal warga Sabah dan akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan keamanan, kemakmuran, dan keselamatan negeri itu terjamin.


Jelas Azalina, Kerajaan Persekutuan dibawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Barisan Jemaah Menteri tidak akan berkompromi terhadap aspek kedaulatan dan keselamatan negara terutama negeri Sabah.


"Sehubungan itu, Kerajaan tidak akan berhenti berusaha untuk melindungi dan memelihara kepentingan, kekebalan kedaulatan dan kedaulatan Malaysia pada setiap masa.


"Kita akan terus mengambil segala tindakan yang perlu bagi menghentikan tuntutan Sultan Sulu dengan menggunakan segala kuasa, hak dan sumber yang ada,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.


Terdahulu, Azalina bersama pegawai-pegawai Kerajaan Persekutuan dari Bahagian Hal-Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Peguam Negara (AGC) dan wakil Sekretariat Khas iaitu Prof. Datuk Dr. Sundra Rajoo dan Datuk Feroz Hussein Ahmad Jamaluddin, telah mengadakan Sesi Taklimat Mengenai Isu Tuntutan Pihak Mendakwa Waris Kesultanan Sulu bersama Kerajaan Negeri Sabah dan ahli komuniti Sabah di Magellan Sutera Resort.


Menerusi sesi taklimat ini, pihak kerajaan ingin menerangkan latar belakang melibatkan isu tuntutan ini dan perkembangan berkaitan tindakan undang-undang di empat bidang kuasa iaitu Sepanyol, Perancis, Luxembourg dan Belanda.


Selain itu, sesi taklimat ini juga bertujuan untuk mendapatkan pandangan daripada warga Sabah yang terkesan secara langsung.

Comentários


bottom of page