- Wartawan Nabalu News
Kerajaan Perpaduan laksana 8 reformasi institusi setakat Jun 2023
20 Sept 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan tidak pernah berdiam diri dalam usaha melakukan reformasi institusi yang dijanjikan kepada rakyat.
Beliau berkata, tuduhan bahawa Kerajaan ini No Action Talk Only (NATO) adalah tidak adil dan tidak berasas.
"Semua tahu, untuk melakukan reformasi institusi, mana-mana Kerajaan pun perlukan masa. Namun begitu, dalam tempoh yang singkat, 8 reformasi telah pun dilaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan," katanya menerusi akaun X beliau,
Antara reformasi yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan ialah:
- Pindaan kepada Akta Jenayah Seksual Kanak-kanak 2017 yang meningkatkan hukuman pemenjaraan dan denda bagi kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.
- Pindaan kepada Akta Keterangan Saksi Kanak-kanak 2007 yang menambah baik dan memberi perlindungan terhadap saksi kanak-kanak dengan menaikkan umur daripada 16 tahun kepada 18 tahun.
- Pemansuhan hukuman mati mandatori dan hukuman penjara sepanjang hayat bagi semua kesalahan
- Penggubalan Akta sementara iaitu RUU Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat 2023 yang membolehkan banduan yang dikenakan hukuman mati mandatori dan penjara seumur hidup mohon untuk semakan hukuman.
- Kewujudan peruntukan baharu bagi kesalahan menghendap dalam Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah.
- Pemansuhan peruntukan kesalahan cubaan membunuh diri Seksyen 309 dalam Kanun Keseksaan yang menggalakkan mangsa untuk tampil kehadapan dan mendapatkan bantuan.
- Kertas Dasar berkenaan RUU berhubung dengan pendanaan politik.
- Cadangan pindaan kepada Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1999 (Akta 597) yang memperluas tanggungjawab dan memperkukuh autoriti SUHAKAM melalui badan Jawatankuasa Pemilihan yang bebas untuk pelantikan Pesuruhjaya.
"Ini tidak termasuk reformasi lain yang sedang diusahakan. Berhujahlah dengan fakta, bukan gunakan sentimen dan emosi," katanya.
Comments