nabalunews
Kerajaan Persekutuan dan Jabatan Pertanian Sabah komited bantu pengusaha kopi di Sabah
26 November 2024
NABAWAN: Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata pembangunan industri kopi di Sabah dengan peruntukan sebanyak RM4.5 juta serta sasaran keluasan 300 hektar akan dilaksanakan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bersama-sama Jabatan Pertanian Sabah bermula Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) dan diteruskan dalam RMK-12 bagi membantu para pengusaha kopi khususnya di Pedalaman Sabah dan meningkatkan pengeluaran kopi di negeri ini.
"Berdasarkan data perangkaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian Sabah, setakat tahun 2022, pengeluaran kopi masih rendah dengan tahap kecukupan hanya 35%.
"Data ini berdasarkan keluasan bertanam iaitu 1,434.2 hektar, luas berhasil 936.1 hektar dan pengeluaran 936.1 tan" katanya ketika menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Coffee House dan Cafe Coffeelive di Nabawan.
Bagi pengeluaran kopi di daerah Nabawan dan Sook, Arthur berkata, keluasan bertanam setakat ini adalah 341.6 hektar dengan pengeluaran sebanyak 248 tan setahun mewakili 26.5% pengeluaran kopi negeri Sabah.
Ini katanya, secara tidak langsung menunjukkan industri kopi mempunyai potensi yang masih luas dan terbuka untuk diterokai.
Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata peningkatan pengeluaran kopi perlulah disokong dengan aktiviti pemprosesan hiliran.
Katanya, produk hiliran berasaskan kopi akan dapat menambah nilai hasil kopi untuk pasaran tempatan dan juga eksport, seterusnya meningkatkan pendapatan pengusaha kopi.
Sehubungan itu katanya bagi membantu pengusaha kopi khususnya di Nabawan dan Sook, KPKM telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM3.37 juta merangkumi RM2.24 juta untuk pembinaan Coffee House dan Café Coffeelive di Stesen Pertanian Sepulut dan RM1.13 juta bagi menaik taraf pusat pengumpulan hasil kopi di daerah Nabawan.
"Projek yang dibawa melalui Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan bagi Mengoptimumkan Penggunaan Tanah dengan kerjasama kerajaan negeri merupakan inisiatif quick-win KPKM dan dijangka akan dapat disiapkan menjelang Februari 2025" tambahnya.
Sehubungan itu, Arthur menyeru agar para pengusaha tanaman kopi di daerah Nabawan dan Sook menggunakan kemudahan ini sepenuhnya dan tidak lagi perlu pergi jauh ke Tenom.
Beliau turut menegaskan agar aspek pengurusan dan pengendalian Coffee House dan Café Coffeelive perlu dilaksanakan dengan teratur dan memberi penekanan dari segi kebersihan dan amalan mesra alam.
Beliau percaya projek ini akan memberi impak dalam membantu pengusaha tanaman kopi meningkatkan pendapatan untuk memperbaiki taraf sosio ekonomi, memberi peluang pekerjaan terutamanya kepada belia dan menghasilkan produk hiliran kopi yang berkualiti dan selamat serta memenuhi piawaian pensijilan yang ditetapkan untuk pasaran dalam dan luar negeri.
Comments