Kerajaan pusat masih “hutang” penjelasan kepada rakyat Sabah
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kerajaan pusat masih “hutang” penjelasan kepada rakyat Sabah


Datuk Donald Mojuntin semasa berucap.

6 Jun 2022

Olseba awan Nabalu News


PAPAR: Kerajaan Persekutuan sehingga hari ini masih ‘berhutang’ penjelasan kepada rakyat Sabah mengenai jumlah pungutan semula hasil persekutuan 40 peratus seperti yang termaktub dalam Perkara 112 C & D Perlembagaan Persekutuan Malaysia.


Timbalan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Donald Mojuntin berkata, rakyat Sabah perlu terus menuntut hak itu kerana ia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


“Kita sepatutnya mendapat hasil 40 peratus setiap tahun daripada cukai yang dipungut oleh Kerajaan Persekutuan daripada Sabah.

Donald ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tritahunan UPKO Bahagian Papar. Turut hadir Naib Presiden UPKO merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick (dua kanan).

“Sehingga sekarang, kita masih belum tahu hasil jumlah kutipan itu di mana ‘review’ (ulasan) terakhir diadakan pada tahun 1974. Pada tahun tersebut, 40 peratus itu dikatakan sama dengan RM26.7 juta. Namun, tidak ada lagi ‘review’ yang dibuat pada tahun-tahun berikutnya,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tritahunan UPKO Bahagian Papar, di sini, pada Ahad.


Turut hadir Naib Presiden UPKO merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick.

Donald berkata, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah telah membuat persetujuan pada tahun ini bahawa jumlah 40 peratus hasil pungutan cukai itu akan didarab 10 dengan jumlah yang disebut pada tahun 1974, iaitu RM26.7 juta.


“Tetapi dalam perlembagaan telah dinyatakan bahawa 40 peratus itu seharusnya berdasarkan jumlah keseluruhan kutipan cukai oleh Kerajaan Persekutuan dari Sabah.


“Mereka (Kerajaan Persekutuan) menyatakan bahawa tidak perlu merujuk kepada Artikel 112. Mana ada undang-undang yang boleh ‘null and void’ sesuatu perlembagaan sesuka hati melainkan dua per tiga Parlimen mengundi untuk meminda atau menukar (Perlembagaan),”katanya.

Beliau berkata, bagi menuntut hak Sabah itu, UPKO akan terus berjuang dan baru-baru ini Naib Presiden parti Datuk Ewon tampil memfailkan saman pemula ke atas Kerajaan Malaysia mengenai isu ini.


“Isunya bukan sahaja jumlah wang yang seharusnya datang kepada Sabah, tetapi juga Kerajaan Persekutuan yang dilihat bermain-main dengan perlembagaan Malaysia sewenang-wenangya untuk manfaatnya.


“Sepatutnya, Sabah sekurang-kurangnya setaraf dengan Kuala Lumpur dan Selangor yang mempunyai MRT, LRT, jalanraya lima lorong. Tetapi jalanraya kita (di Sabah) masih teruk … Adakah kita akan menunggu 60 tahun lagi sebelum bertindak?,” katanya.

Sehubungan itu Donald berkata, UPKO akan terus berjuang demi kepentingan rakyat sabah secara keseluruhannya.


Beliau berkata, sekiranya hasil 40 peratus itu diberikan kepada Sabah, pastinya negeri ini lebih maju atau setaraf dengan negeri-negeri lain di Semenanjung dan juga tiada daerah termiskin di Sabah.


Pada mesyuarat itu, Datuk Gilbert Sham dilantik semula sebagai Ketua UPKO Bahagian Papar pada sesi 2022 hingga 2025.

Tags:

bottom of page