Kerajaan Sabah konsisten dalam program MESEJ untuk kurangkan jurang kemiskinan

20 April 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Langkah kerajaan dalam mengurangkan jurang kemiskinan luar bandar di negeri Sabah diperkuatkan dengan pemeteraian Perjanjian Pengurusan Mini Estet Sejahtera (MESEJ) di Angalor Kemabong, Tenom.
Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLBS) telah berjaya mengadakan perjanjian tersebut dengan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) di Magellan Sutera Resort, Kota Kinabalu pada Selasa lalu.
Perjanjian tersebut telah ditandatangani oleh Setiausaha Tetap KPLBS, Datuk Norlijah Hj. Danin dan Pengurus Besar LIGS, Sabdil Tanjong.
Sesi pemeteraian perjanjian turut dihadiri oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim dan Pengerusi LIGS, Datuk Edward Linggu.
Program MESEJ merupakan salah satu usaha yang diwujudkan untuk meningkatkan ekonomi masyarakat luar bandar terutama di daerah-daerah yang tersenarai sebagai daerah termiskin di negeri Sabah.
Pemeteraian perjanjian tersebut menunjukkan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam menjalankan program MESEJ yang berkesan dan berkelanjutan.
Kerjasama di antara Kerajaan Negeri dan LIGS bertujuan untuk membantu mengurangkan jurang kemiskinan penduduk terutamanya di kawasan luar bandar.
Kejayaan program MESEJ turut membuktikan bahawa kerajaan amat komited dalam menjayakan program tersebut dan berupaya meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar ke arah keadaan yang lebih baik.
Comments