top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kerajaan Sabah laksana pelbagai program tingkatkan kebajikan, pembangunan modal insan


16 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


TAMPARULI: Pelaksanaan pelbagai program yang telah, sedang dan akan digerakkan membuktikan Kerajaan Negeri amat mengambil berat terhadap kebajikan serta pembangunan modal insan di Sabah.


Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim berkata, pihaknya terus meletakkan keyakinan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor untuk terus memacu negeri ini lebih maju dan gemilang.


"Sejak menerajui Sabah bermula September 2020, Ketua Menteri Dan kepimpinan Kerajaan telah dapat membawa negeri ini lebih berdaya saing dimana pelbagai rekod telah berjaya dicapai.


"Antaranya dalam soal kutipan hasil, Kerajaan di bawah pimpinan beliau telah mencatat sejarah sebanyak dua tahun berturut-turut dengan memecah rekod kutipan hasil negeri.


"Pada tahun 2021, hasil kutipan Kerajaan Negeri merekodkan sejumlah RM5.49 billion iaitu kadar tertinggi sejak merdeka, manakala pada tahun 2022 angka tersebut berjaya diatasi pada angka RM6.9 bilion," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutupan Program Outreach Beliau Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 di sini hari ini.


Jahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli berkata, bagi memastikan rekod dan pencapaian itu terus meningkat, Kerajaan Negeri amat memerlukan kestabilan untuk terus fokus membangunkan negeri.


Katanya yang berharap agar rakyat khususnya di negeri ini tidak terikut-ikut dengan budaya yang dibawa oleh pihak luar yang akan merugikan negeri dan rakyat Sabah keseluruhannya.


"Melalui kesempatan ini, saya juga merakamkan ucapan tahniah kepada IKRAR atas penganjuran program pada hari ini.


"Saya difahamkan program ini menyasarkan para belia sekitar daerah ini yang berkecimpung dalam perniagaan kecil-kecilan.


"Program seumpama ini amat baik sekali terutamanya sebagai tanda kebersamaan pihak Kerajaan dengan anak muda di Sabah," katanya.

bottom of page