top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kerajaan Sabah lancar Program 02, bantu rakyat kurang berkemampuan memerlukan rawatan

14 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor, telah memperkenalkan Program Oksigen (O2) Untuk Rakyat #SharingIsCaring, yang bertujuan untuk memenuhi keperluan rawatan perubatan rakyat yang kurang berkemampuan di Sabah.


Hajiji berkata, program tersebut akan dilaksanakan melalui Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) dan Sabah Energy Corporation (SEC).


Jelas beliau, Kerajaan Negeri sedar bahawa peralatan mesin oksigen dan tangki oksigen tidak dapat dimiliki oleh semua pesakit kerana harganya yang mahal.


"Bekalan peralatan sedia ada di hospital juga tidak mencukupi dan pesakit juga terpaksa berulang alik ke hospital untuk mendapat rawatan," katanya semasa melancarkan Program Oksigen (02) Untuk Rakyat #SharingIsCaring di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu, di sini, kelmarin.


Menurut Hajiji, sepanjang tahun 2022 hingga Januari 2023, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah mencatatkan sebanyak 74 kes pesakit di Sabah yang memerlukan bantuan mesin oksigen manakala 11 pesakit lagi memerlukan bantuan tangki oksigen.


Jelas beliau, bantuan ini diberikan kepada semua rakyat yang memerlukannya tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang.


Katanya, melalui Program Oksigen (O2) Untuk Rakyat #SharingIsCaring, peralatan mesin oksigen dan tangki oksigen akan ditempatkan di hospital kerajaan dan diberikan secara pinjaman dengan dikawal selia oleh Jabatan Kesihatan.


Program ini bertepatan dengan konsep dan pendekatan “Malaysia MADANI” yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri melalui penerapan 6 rukun teras iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan.


Selain bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan, Hajiji juga menggesa semua pihak sama ada jabatan atau agensi kerajaan, Badan-badan Berkanun, Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGOs) dan Badan-badan Korporat untuk terus memberi sokongan kepada YKS dalam membantu golongan kurang berkemampuan dan berkeperluan khas di negeri ini.


Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong, Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, Datuk Mohd. Sofian Alfian Nair, Pengerusi SEC, Datuk Annuar Ayub, Pengarah JKNS, Datuk Rose Nani Mudin, Ketua Pegawai Eksekutif SEC, Adzmir Abdul Rahman, dan Pengarah YKS, Hajah Rugayah Ag. Besar.

bottom of page