Kerajaan tambah peruntukan RM2 bilion untuk bayaran balik lebihan cukai
- nabalunews
- Dec 7, 2025
- 2 min read

7 Disember 2025
PUTRAJAYA: Kerajaan mengambil langkah untuk menambah peruntukan RM2 bilion bagi membiayai pembayaran balik lebihan kutipan cukai yang tertunggak, mejadikan jumlah peruntukan sebanyak RM4 bilion.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu sebagai langkah segera memastikan rakyat tidak menanggung kelewatan dalam pemulangan cukai.
Menurut beliau, tambahan peruntukan itu juga selaras dengan prinsip moral dan ihsan di bawah gagasan MADANI dan wajar dilaksanakan kerana kerajaan tidak seharusnya berhutang dengan rakyat seperti juga rakyat tidak sepatutnya berhutang dengan kerajaan.
“Sebab itu semalam saya umumkan kita sediakan peruntukan RM2 bilion untuk pulangan balik pembayaran ataupun kutipan yang lebih.
“Tetapi mulai bulan ini, (mulai) sekarang juga kita tambah lagi RM2 bilion jadi RM4 bilion untuk diagihkan sekarang,” katanya ketika berucap pada program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku, di sini hari ini.
Anwar berkata, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) akan mula melaksanakan pembayaran berkenaan secara berperingkat mulai esok kepada pembayar cukai yang layak.
Dalam pada itu, menurut beliau, masalah tunggakan sebahagian besarnya merupakan isu legasi yang diwarisi sejak sekian lama, melibatkan jumlah besar yang perlu diselesaikan secara berperingkat.
Bagaimanapun katanya, kerajaan komited mempercepatkan penyelesaian kerana ia melibatkan soal ihsan, moral dan keadilan kepada rakyat.
"Kita harus kutip dan yang berhutang dengan negara harus cepat membayar. Jangan jadi amalan dulu, kalau orang itu kaya raya atau bilionaire, rundingan mengurangkan itu mudah.
"Kalau orang itu di peringkat kecil, dituntut bayar tanpa rundingan. Jadi ini sudah harus diubah, tetapi hutang kerajaan kepada syarikat harus dilunaskan dengan seberapa segera yang boleh," ujarnya.
Semalam, Anwar mengumumkan Kerajaan Persekutuan menaikkan peruntukan bayaran balik cukai daripada RM2 bilion kepada RM4 bilion pada Disember ini bagi mempercepat pembayaran balik cukai tertunggak, terutama kepada peniaga kecil.


















Comments