Kerajaan tidak berhasrat sekat akses media sosial tidak berlesen selepas 1 Januari - Fahmi Fadzil
7 November 2024
KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, menegaskan bahawa kerajaan tidak berniat untuk menyekat akses kepada platform media sosial yang gagal mendaftar Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi [ASP (C)] selepas 1 Januari tahun hadapan, meskipun peraturan tersebut akan dikuatkuasakan.
Menurut beliau, pengguna masih boleh menggunakan platform berkenaan walaupun jika penyedia media sosial gagal mendaftar lesen tersebut.
Walau bagaimanapun, Fahmi menggesa penyedia platform media sosial agar mengambil tanggungjawab dalam mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat untuk pengguna.
"Ia mungkin menjadi 'langkah terakhir' yang diambil kerajaan selepas tindakan lain berdasarkan Akta Komunikasi dan Multimedia," katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Fahmi turut menekankan bahawa kerajaan tidak ingin menuju ke arah penyekatan akses kecuali jika benar-benar diperlukan.
"Pada waktu ini, kerajaan tidak berhasrat mengekang akses kepada platform tersebut (jika gagal berdaftar). Jadi kita lihat itu sebagai 'the last resort' (langkah terakhir diambil) dan kita tak mahu ke arah itu," ujarnya.
Beliau turut menyentuh aspirasi kerajaan untuk menyediakan internet yang lebih laju dan lebih murah, tetapi pada masa yang sama selamat untuk kanak-kanak dan keluarga.
Soalan mengenai sekatan akses ini diajukan oleh Wan Saifulruddin yang juga bertanya mengenai kemungkinan pertindihan peraturan ini dengan Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian yang sedang digubal.
Comments