Kerajaan tidak boleh berdiam mengenai keputusan tuntutan 40 peratus hak Sabah – Anwar
- nabalunews
- 33 minutes ago
- 2 min read

13 November 2025
KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan tidak boleh berdiam diri terhadap alasan penghakiman mahkamah berhubung tuntutan 40 peratus hasil Sabah, yang menyatakan kerajaan di peringkat negeri tersebut dan juga Persekutuan bertindak secara tidak berperlembagaan sejak 1974.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata sehubungan itu rayuan alasan penghakiman perlu dilakukan bagi memperbetulkan pandangan yang tidak tepat terhadap Kerajaan Persekutuan dan negeri sejak tahun 1974 sehingga kini.
“Keputusan (mahkamah yang menyatakan) kita ketepikan Perlembagan negara, satu keputusan yang mesti dirayu kerana kita mengharapkan ia dibatalkan mahkamah dari sudut semua tuduhan keras ke atas semua kerajaan sejak 1974.
“Tanpa rayuan, keputusan itu boleh dianggap seolah-olah menghukum kerajaan persekutuan di bawah Tun (Abdul) Razak (Hussein) dan semua pentadbiran selepas tahun 1974, termasuk kerajaan negeri di bawah pimpinan Tun Mustapha Harun dan Tun Fuad Stephens, serta parti-parti politik yang terlibat,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mengenai rasional keputusan Kerajaan Persekutuan tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu dan sebaliknya merayu atas alasan kecacatan dalam isu yang lain serta apa implikasi keputusan itu.
Bagaimanapun, Anwar berkata, rayuan yang akan difailkan hanya berkisar alasan penghakiman yang mendakwa kajian semula pemberian khas yang dibuat selepas 2021 menyalahi undang-undang dan tak rasional serta mengaitkan kesilapan besar dibuat kerajaan sejak 1974.
Menurutnya, alasan penghakiman itu membawa maksud Kerajaan Persekutuan di bawah pentadbiran Perdana Menteri terdahulu, kerajaan negeri terdahulu dan ahli Parlimen terdahulu sejak 1974 semuanya diputuskan sebagai terlanjur dan mengabaikan tanggungjawab terhadap Sabah.
"Apakah kita boleh berdiam tanpa membatalkan rekod yang mengatakan terlanjur, tidak rasional, terdapat ketidakaturan dari segi prosedur serta tidak berkadaran.
"Ini belum pernah berlaku keputusan (dibuat) mahkamah sebegitu keras dan melibatkan seluruh kerajaan sejak 1974," katanya.
Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan Peguam Negara turut memberikan nasihat dan pandangan kepada Jemaah Menteri berhubung kecacatan dalam alasan penghakiman berkenaan.
Antaranya dakwaan bahawa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan negeri Sabah telah menyalahgunakan kuasa dan melanggar kewajipan perlembagaan. Dakwaan ini bakal membabitkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan negeri Sabah sejak 1974.
Pada 17 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa Kerajaan Persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan selama hampir lima dekad.
Mahkamah turut mengeluarkan perintah mandamus yang mengarahkan Kerajaan Persekutuan mengadakan semakan semula hasil bersama Kerajaan Negeri di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan bagi menegakkan semula hak 40 peratus hasil Sabah bagi setiap tahun kewangan dari 1974 hingga 2021.


















Comments