top of page

Kereta Bertembung, Dua Pemandu Tersepit Sebelum Disahkan Maut

  • nabalunews
  • 4 hours ago
  • 1 min read

23 April 2026


KIMANIS: Dua pemandu maut selepas kenderaan dinaiki bertembung dalam kejadian kemalangan di Jalan Bukit Kimanis-Keningau, di sini, semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, dua mangsa maut melibatkan warga emas berusia 61 tahun yang memandu Perodua Axia dan lelaki berusia 35 tahun yang memandu Proton Saga.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Nelson Ponji berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 11.34 pagi.

Katanya, sepasukan tujuh anggota dan pegawai bersama jentera terus dikerah ke lokasi kejadian yang terletak 25 kilometer dari BBP Kimanis.


“Kemalangan jalanraya melibatkan tiga orang mangsa iaitu dua mangsa lelaki masing-masing pemandu kenderaan yang tersepit dibahagian pemandu dan seorang penumpang wanita berusia 52 tahun.


“Pasukan Bomba terus menjalankan operasi mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit menggunakan peralatan 'Rescue Tools',” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Menurutnya, kedua-dua mangsa tersepit disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia yang turut hadir membantu di lokasi.


Katanya, kedua-dua mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.


“Manakala mangsa wanita yang berada di kenderaan Perodua Axia turut mengalami kecederaan dan terus dihantar ke Hospital menaiki Ambulans KKM bagi menerima rawatan lanjut.

“Pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 12.30 tengah hari,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page