Kereta rosak di tengah landasan dirempuh kereta api
- nabalunews
- Feb 25
- 1 min read

25 Februari 2025
BEAUFORT: Seorang lelaki terpaksa bergegas keluar dari kenderaan untuk menyelamatkan diri sebelum kereta dipandunya dirempuh kereta api, di Kampung Halogilat, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, kereta Toyota Vios, mangsa berusia 43 tahun terbabit dikatakan tiba-tiba rosak di tengah landasan.
Bagaimanapun, usaha untuk menghidupkan semula kenderaan gagal dan terus dirempuh kereta api berkenaan.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintenden Wong Leong Meng berkata, berdasarkan siasatan awal, kereta api berkenaan sedang dalam perjalanan dari arah Halogilat menghala ke Pekan Beaufort.
Manakala katanya, mangsa yang juga seorang guru pula sedang dalam perjalanan ke tempat kerjanya.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta mangsa dikatakan rosak dan terhenti di tengah landasan kereta api.
“Kereta api berkenaan yang kebetulan melalui kawasan itu sukar dihentikan secara mengejut dan terus merempuh kereta mangsa,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Menurutnya, pemandu sempat menyelamatkan dirinya keluar daripada kereta malang berkenaan tanpa sebarang kecederaan.
Katanya, kereta mangsa bagaimanapun mengalami kerosakan akibat rempuhan berkenaan.
Comments