top of page
  • nabalunews

Kerja-kerja pembersihan kanan Jambatan H, Kampung Sim-Sim, Sandakan dimulakan


17 Ogos 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


SANDAKAN: Kerja-kerja pembersihan di sebelah kanan Jambatan H, Kampung Sim-Sim, Sandakan telah dimulakan, dengan jentera pengorek tanah ditempatkan dikawasan itu.


Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee berkata, kerja-kerja itu akan mengambil masa tiga bulan bagi membersihkan sampah dan lumpur di kawasan tersebut.


"Kerja-kerja pembersihan di kawasan tersebut juga mengalami kesulitan kerana masalah tanah yang lembut dan lembap yang menyebabkan operasi jentera pengorek lebih mencabar dan lebih banyak masa diperlukan untuk menyiapkan kerja tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.


Vivian menambah, ketika ini kerja-kerja pembersihan masih berjalan seperti biasa di kawasan tersebut.


Dalam perkembangan sama, Vivian juga menggesa penduduk tempatan untuk terus bekerjasama serta saling memantau perbuatan pihak tidak bertanggungjawab yang gemar membuang sampah ke laut.


Katanya, jika ada individu dilihat membuang sampah ke laut, perbuatan mereka itu perlu segera dihentikan selain diberikan pendidikan berkaitan kepentingan menjaga kebersihan laut.


Sementara itu pagi tadi, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar di Sandakan, Future Alam Borneo (FAB) telah membawa NGO Youth Eco Toyota dan pasukan Pandu Puteri dari SM Sung Siew untuk memasang jaring penghalang sampah yang digabungkan dengan botol plastik terpakai sebagai pelampung yang akan terus dipasang di kawasan rumah air Kampung Sim-Sim seperti yang telah dilakukan sebelum ini.


Ia juga antara usaha menghalang sampah masuk ke kampung itu.


Vivian memuji usaha itu dan beliau juga mahu lebih banyak sokogan daripada NGO untuk turut serta dalam usaha memulihara persekitaran Sandakan dan memberikan idea atau sumbangan berkaitan dalam kerja-kerja pembersihan rumah atas air di Kampung Sim-Sim, Sandakan untuk mewujudkan Sandakan yang bersih dan indah.

Komentar


bottom of page