Kerjasama GRS-BN tidak dibincang dalam mesyuarat BN Sabah: Pemuda PBRS
7 Oktober 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Pemuda Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) mendakwa kerjasama antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak pernah dibincangkan dalam Mesyuarat BN Sabah.
Ketuanya, Profesor Dr Edwin Laimin berkata, mengikut Perlembagaan BN, Perkara 13, semua keputusan yang melibatkan kepentingan BN hendaklah diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi BN dengan sebulat suara.
“Malangnya, isu kerjasama antara GRS dan BN dalam mendepani PRU-15 tidak pernah dibincangkan dalam Mesyuarat BN Sabah.
“Pemuda PBRS kecewa kerana apa pun mesyarat BN untuk menentukan kerjasama tidak dimaklumkan oleh Badan perhubungan BN sabah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Oleh itu, Dr Edwin berkata, Pemuda PBRS meminta agar sebarang pengumuman kerjasama dengan mana-mana pihak hendaklah dibincangkan dan diputuskan dalam mesyuarat Perhubungan BN sabah sebelum diumumkan.
“Kita tidak menolak sebarang kerjasama daripada BN dan GRS tetapi sekurang-kurangnya kita haruslah dilibatkan untuk semangat setia kawan dalam BN selama ini,” katanya.
Comments