top of page
nabalunews

Kerjasama KKBS Perseketuan dan KKBS Sabah penting: Adam

7 September 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KENINGAU: Kerjasama diantara Kementerian Belia Dan Sukan (KKBS) Persekutuan dan KKBS Negeri Sabah amat penting bagi pembangunan belia di negeri ini.


Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata, Sabah perlu diberi perhatian khususnya dalam pembangunan belia kerana masih banyak perkata yang perlu diselasaikan.


"Saya yakin dengan adanya kerjasama antara KKBS negeri Sabah dan KKBS Pesekutuan yang sedia ada akan bertambah erat lagi dengan penganjuran bersama program yang lebih menjurus kepada pembangunan belia," katanya.


Beliau berkata demikian kepada media sempena program Kembara Jumpa Orang Muda (Kembara JOM) peringkat negeri Sabah Tahun 2024 bertempat di Institut Pendidikan Guru Kampus Keningau di sini pada Sabtu.


Menurut Adam, kerjasama dan hubungan KKBS Negeri Sabah yang diterajui oleh menterinya Datuk Ellron Angin dan KKBS Persekutuan yang diterajui menterinya, Hannah Yeoh adalah baik.


"Segala perkara yang berkaitan dengan sektor sukan ataupun sektor belia sentiasa dibincang bersama secara jujur. Jadi dalam suasana yang macam ini kita boleh bekerjasama dengan lebih serius dan lebih baik. Itulah harapan kita diperingkat Persekutuan dan negeri" katanya.


Mengulas Kembara JOM, Adam berkata, ia merupakan sebuah inisiatif KBS melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dan Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) bagi membolehkan pemegang taruh belia menyampaikan maklum balas dan pandangan terhadap draf Pelan Transisi Kepimpinan Belia secara terus kepada kepimpinan tertinggi KBS.


Katanya, maklum balas dan pandangan yang diterima daripada belia akar umbi akan digunakan untuk memuktamadkan pelan tersebut yang bakal menjadi pemacu pelaksanaan pindaan kepada Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 [Akta 668].


"Antara kandungan utama kepada pindaan Akta 668 adalah merangkumi penurunan definisi had umur belia kepada 30 tahun, penetapan had umur ketua ataupun pemegang jawatan pertubuhan belia iaitu 18 hingga 30 tahun dan mengehadkan tempoh ketua pertubuhan belia selama empat (4) tahun. Pindaan Akta 668 telah diluluskan di Parlimen pada tahun 2019 dan akan berkuat kuasa 1 Januari 2026" jelasnya.


Sehubungan itu, Kembara JOM merupakan platform terbaik bagi pemegang taruh belia mendapatkan maklum balas dan pandangan tentang pelan transisi kepimpinan belia bagi meningkatkan pengetahuan dan pemahaman berkaitan Akta 668 dan pindaan 2019;


Selain itu ia meningkatkan pengetahuan dan pemahaman mengenai hala tuju belia dan kepimpinan belia negara; dan mendapatkan maklumat terkini untuk merangka program dan

aktiviti pembangunan belia yang menyeluruh, inklusif dan komprehensif.


Antara pengisian aktiviti di bawah Kembara JOM adalah taklimat oleh TOY, aktiviti Rakan Muda dan pameran reruai oleh jabatan/agensi kerajaan.


Pelaksanaan Kembara JOM ini juga menzahirkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memperkasakan pembangunan belia seiring dengan hasrat dan aspirasi dalam kerangka Malaysia MADANI dan Model Pembangunan Belia MADANI 2030 (MPBM 2030).


Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah Datuk Mansur Asun, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sabah Apui Jan serta pemimpin-pemimpin belia di kawasan Pedalaman.

Comments


bottom of page