Kerjasama media penting dalam sampaikan hasrat kerajaan negeri

16 April 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah berhasrat untuk memastikan kesejahteraan rakyat hingga ke peringkat akar umbi dengan menyampaikan maklumat yang tepat dan tidak diputar belit.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Datuk (Datu) Rosmadi Datuk Sulai berkata, kerjasama dengan media amat penting dalam membantu kerajaan mencapai matlamat tersebut.
“Pelbagai cabaran kini dihadapi oleh kerajaan dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat dengan tepat dan tidak diputar belit.
“Sehubungan itu, kerajaan negeri akan mengenal pasti bentuk kerjasama yang dapat membantu media menyampaikan hasrat kerajaan dengan tepat sekaligus memberi keyakinan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Apresiasi Media anjuran Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (JPANS) di sini, pada Sabtu.
Majlis itu turut menyaksikan pelancaran penjenamaan semula Berita Perkhidmatan Awam Negeri kepada JPANSTV.
Seramai 167 pengamal media hadir ke majlis yang julung kali diadakan bagi menghargai peranan dan bantuan media.
Hadir sama, Presiden Persatuan Wartawan Sabah, Datuk Muguntan Vanar dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat, Jabatan Penerangan Negeri Sabah, Peter Tong Ah Pin.
留言