top of page

Kerjasama UMNO–PH Sabah bukan remeh tapi gerak strategi politik bijak – Suhaimi

  • nabalunews
  • 5 days ago
  • 2 min read


16 April 2025


KOTA KINABALU: Kerjasama UMNO-PH Sabah tidak seharusnya dipandang remeh, sebaliknya ia merupakan gerak strategik politik yang bijak, kata Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir.


Beliau menegaskan, soal sama ada kerjasama ini akan berlaku atau tidak adalah perkara kedua. Yang penting sekarang UMNO Sabah kembali berada dalam radar politik nasional dalam perbualan media, perhatian rakyat, dan pertimbangan parti-parti lain.


"Kepada mereka yang memilih untuk memperlekeh strategi ini, ketahuilah bahawa dalam politik hari ini, siapa yang menguasai persepsi, dia yang memacu momentum," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Beliau merujuk kenyataan terbaru Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berhubung kerjasama antara UMNO Sabah dan Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 telah mencetuskan pelbagai reaksi.


Ada pihak termasuk dari dalam UMNO sendiri tampil menjelaskan bahawa tiada keputusan rasmi dibuat, manakala segelintir pula memilih untuk memperlekeh atau menjadikannya bahan jenaka.


Suhaimi berkata, dari sudut komunikasi politik, apa yang dilakukan oleh Bung Moktar ialah penggunaan strategi persepsi politik pendekatan yang terancang untuk membentuk sentimen rakyat, menguji reaksi politik, dan menguasai kembali naratif media menjelang pilihan raya penting.


Katanya, dengan membuka wacana tentang keterbukaan terhadap kerjasama khususnya dengan sebuah gabungan yang menguasai kerajaan Persekutuan, UMNO Sabah sedang menghantar mesej bahawa parti ini masih relevan, fleksibel, dan strategik dalam pendekatan politiknya.


"Ini bukan kenyataan rambang. Ini mesej yang dikira dengan teliti".

Beliau berkata, dalam dunia sains politik, ini juga dikenali sebagai agenda `setting' iaitu menukar tumpuan media dan rakyat daripada isu dalaman parti kepada kemungkinan kerjasama masa depan yang membawa harapan dan kestabilan.


"Ia membolehkan UMNO Sabah menguasai kitaran media, menyuntik semula semangat jentera parti, dan mengukuhkan kedudukannya dalam landskap politik negeri dan nasional," kataya.


Suhaimi berkata, perlu difahami bahawa ungkapan seperti “pintu rundingan sentiasa terbuka” bukan satu bentuk komitmen rasmi.


"Ia adalah alat komunikasi strategik untuk menilai reaksi akar umbi, membuka ruang rundingan, dan mencipta kelebihan politik dalam rundingan yang akan datang.


Politik bukan tentang tunggu lampu hijau, pemimpin sebenar ialah mereka yang berani mencipta jalan baharu.


Dan hari ini, UMNO Sabah sedang merintis laluan itu di bawah kepimpinan Datuk Seri Bung Moktar," tegasnya.

ความคิดเห็น


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page