Kes baharu Covid-19 di Sabah catat lebih 200 kes hari ini
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kes baharu Covid-19 di Sabah catat lebih 200 kes hari ini



7 Julai 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, seperti yang diramal, jumlah jangkitan harian bagi Sabah melepasi paras angka 200 hari ini dengan 205 kes baharu, meningkat sembilan kes berbanding semalam.


Beliau berkata, kadar positiviti juga meningkat. Daripada 2,588 sampel ujian, hampir 11.3% didapati positif COVID-19 berbanding 9.76% daripada 2,828 sampel ujian kelmarin.


“Kadar positiviti yang tinggi adalah satu petunjuk kadar penularan virus yang lebih cepat.


“Kadar penularan yang lebih cepat kemungkinan besar berpunca daripada orang-orang yang positif Covid-19 gagal atau enggan membuat ujian Covid-19 dan meneruskan aktiviti-aktiviti harian seperti biasa.


“Perlonggaran SOP yang melibatkan penarikan sekatan-sekatan aktiviti-aktiviti sosial juga memudahkan penularan ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.


Masidi berkata, Kota Kinabalu terus mencatatkan angka jangkitan tertinggi di Sabah dengan 88 kes baharu, walaupun lebih rendah (-11) daripada angka kelmarin.


“Tetapi kes baharu di Penampang meningkat hampir tiga kali ganda daripada 24 kes kelmarin kepada 64 kes hari ini, pertambahan sebanyak 40 kes.


“Begitu juga dengan Putatan yang sebelum ini bersih daripada jangkitan mencatat 14 kes baharu. Lahad Datu pula yang mencatat 12 kes kelmarin tidak merekodkan sebarang jangkitan baharu hari ini,” katanya.

bottom of page