Kes baharu Covid-19 di Sabah terus meningkat, 280 kes hari ini

5 Januari 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Jumlah kes baharu Covid-19 di Sabah terus menunjukkan trend peningkatan sehingga 280 kes, meningkat 22 kes berbanding kelmarin dan satu kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu di Ranau.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, terdapat 11 daerah mencatatkan kes pada kadar dua angka dengan tiga daripadanya mencapai 40 kes ke atas, iaitu Kota Belud 41 kes, Kota Kinabalu 41 kes dan Tuaran 40 kes.
Manakala 13 daerah merekodkan kes satu angka sahaja dan tidak ada kes baharu di tiga daerah.
“Kota Belud dan Tuaran menunjukkan peningkatan kes yang agak ketara masing-masing dengan pertambahan 22 kes dan 18 kes berbanding semalam.
"Penampang pula mencatatkan penurunan yang agak besar dengan merekodkan penurunan 36 kes," katanya dalam kenyataan media hari ini.
“Tuaran dan Tawau merekodkan peningkatan kes baharu yang agak tinggi berbanding jumlah semalam, masing-masing dengan pertambahan 17 kes dan 14 kes.
“Ranau adalah satu-satunya daerah yang menunjukkan penurunan kes baharu yang dianggap signifikan iaitu -12,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurut Masidi, Sabah mencatatkan perubahan angka kes positif Covid-19 yang tidak statik dengan jumlah catatan sebanyak 145 kes daripada Saringan Kontak Rapat.
Dari segi statistik vaksinasi negeri Sabah, setakat ini 2,404,729 orang telah pun menerima dos lengkap dengan 2,093,189 orang atau 75.88 peratus adalah penduduk dewasa.
Comentários