Kes bergejala amat tinggi di Kota Kinabalu, Tuaran, Penampang, Papar, Lahad Datu
Wartawan Nabalu News

12 Feb 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Peratusan kes-kes simptomatik atau bergejala amat tinggi di Kota Kinabalu, Tuaran, Penampang, Papar dan Lahad Datu.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, daerah berkenaan juga mencatatkan kes tiga angka dan padat dengan penduduk, pusat aktiviti sosial dan perniagaan.
“Penduduk-penduduk yang tinggal di kawasan ini diminta berhati-hati semasa berada dikhalayak ramai atau semasa menghadiri majlis-majlis sosial.
"Elakkan berada di tempat-tempat yang sesak. Patuhi semua prosedur operasi standard (SOP),” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Masidi berkata, Kota Kinabalu mencatatkan kes tertinggi di seluruh Sabah dengan 1,229 kes meningkat sebanyak 447 kes berbanding kelmarin.
“Penambahan jumlah yang tinggi memang diduga dengan mengambilkira peratusan kes simptomatik yang tinggi.
“Hari ini 681 kes (55.4 peratus) di Kota Kinabalu adalah daripada kategori simptomatik atau bergejala yang berjangkit secara sporadik.
“Kes simptomatik yang tinggi bermakna virus ini sudah berada dalam komuniti secara meluas dan akan mengakibatkan kes baharu terus melambung tinggi dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata, daerah kedua mencatatkan kes tertinggi ialah Penampang sebanyak 424 kes, diikuti Sandakan (383 kes), Tuaran (271), Tawau (261), Kota Belud (198), Lahad Datu (184), Papar (164), Beaufort (136), Ranau (114) dan Kota Marudu (104 kes).
Beliau berkata, daerah-daerah lain mencatatkan kes di bawah 100 kes dan hanya Tongod tidak mencatatkan kes baharu hari ini.
Comments