Kes Covid-19 di Sabah dijangka akan meningkat sedikit Kes
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kes Covid-19 di Sabah dijangka akan meningkat sedikit


5 April 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Jumlah kes Covid-19 di Sabah dijangka akan meningkat sedikit selepas penarikan semua sekatan sejak 1 April.


Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata terdapat peningkatan jumlah jangkitan kes hari ini dengan 198 kes baharu direokodkan, iaitu 58 kes lebih tinggi daripada catatan semalam.


Ujarnya, peratusan kes jangkitan sporadik juga naik kepada 58 peratus daripada 55 peratus kelmarin.


“Kita boleh simpulkan bahawa apabila peratusan jangkitan sporadik itu naik, ia berkemungkinan akan mengakibatkan pertambahan kes-kes baharu di hari hari yang seterusnya.


“Kita juga mengambil kira bahawa penarikan pelbagai sekatan ke atas aktiviti sosial dan ekonomi mulai bulan ini sedikit sebanyak akan menyumbang kepada jumlah kes yang bertambah dalam masa terdekat (short term),” katanya dalam satu kenyataan.


Tambah Masidi, jumlah daerah yang mencatatkan kes baharu dua angka bertambah daripada empat daerah kelmarin kepada tujuh daerah hari ini.


Beberapa daerah mencatat pertambahan yang tinggi seperti Penampang yang menambah 17 kes, Beaufort naik 23 kes dan Keningau mencatat 10 kes setelah merekodkan sifar kes kelmarin. Di Kota Kinabalu 42 kes (+5), Tuaran 10 kes (-11), Papar 14 kes (+9) dan Sandakan 13 kes (+8),” katanya.


“Seramai 193 daripada 198 pesakit baharu hari ini adalah dalam Kategori 1 dan Kategori 2, tiga (3) pesakit dalam Kategori 4 dan dua (2) pesakit dalam Kategori 5. Tidak ada pesakit dalam Kategori 3.


“Tiada kes kematian dilaporkan pada hari ini,” katanya.

bottom of page