Kes Covid-19 di Sabah hari ini melepasi angka 5,000
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kes Covid-19 di Sabah hari ini melepasi angka 5,000


16 Februari 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Sabah sekali lagi mencatatkan peningkatan kes Covid-19 yang drastik, dengan 5,082 kes baharu dicatatkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 287,751 kes.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata jumlah peningkatan tersebut berbanding semalam ialah 708 kes.


Beliau berkata, Kota Kinabalu merupakan dearah yang mencatatkan kes baharu yang tertinggi di Sabah dengan 1,086 kes.


“Hampir 60 peratus daripada kes-kes yang berlaku di Kota Kinabalu merupakan kes bergejala yang berpunca daripada jangkitan sporadik.


“Apa yang membimbangkan ialah jangkitan secara sporadik sudah menjadi satu trend di hampir semua daerah di Sabah dan hari ini 59.60 peratus atau 3,029 daripada 5,082 kes adalah dalam kategori ini.


“Statistik tinggi jangkitan secara sporadik bermakna jumlah kes baharu akan berganda dengan lebih cepat. Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) akan menghadapi kesukaran menjejak indeks kes untuk tujuan mengenalpasti kontak kontak rapat bagi membendung penularan lebih luas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Pada hari ini, terdapat 12 daerah mencatatkan kes tiga angka iaitu Sandakan 500 kes, Penampang 463 kes, Tuaran 421 kes, Papar 313 kes, Tawau 310 kes, Ranau 266 kes, Lahad Datu 263 kes, Putatan 222 kes, Kota Marudu 216 kes, Keningau 181 kes, Beaufort 144 kes dan Kota Belud 137 kes.


Manakala 13 daerah mencatatkan kes dua angka dan hanya Kalabakan menjadi daerah tunggal yang tidak mencatatkan sebarang jangkitan baru.


Daripada jumlah keseluruhan kes hari ini, 99.72 peratus atau 5,068 daripada 5,082 kes hari ini adalah dalam Kategori 1 dan 2. Sementara itu, tiga kes telah direkodkan dalam Kategori 3, 10 kes dalam Kategori 4 dan satu kes dalam Kategori 5.


Bagaimanapun, sembilan kes kematian telah dilaporkan pada hari ini iaitu tiga kes di daerah Tawau dan Papar serta masing-masing satu kes di Beaufort, Kudat dan Semporna.


“Bilangan pesakit yang sembuh pada hari ini ialah 1,211 (termasuk yang discaj dari hospital/PKRC) menjadikan jumlah kumulatif 248,826 orang.


“Manakala 2,962 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 1,367 orang di hospital, 1,378 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, 214 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / penjara dan tiga orang di fasiliti swasta.


“Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 45 orang merangkumi 41 di ICU serta empat di kubikel akut dan 21 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated). Selain itu, bilangan pesakit dalam Kategori empat dan lima yang masih belum lengkap vaksin ialah 49.” Katanya.



bottom of page