Kes harian Covid-19 di Sabah hari ini catat penurunan di bawah angka 500
top of page
  • nabalunews

Kes harian Covid-19 di Sabah hari ini catat penurunan di bawah angka 500


19 Mac 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Sabah terus mencatatkan penurunan kes Covid-19 baharu di mana kes harian di negeri tersebut kini di bawah paras 500 kes buat pertama kalinya sejak 3 Februari yang lalu.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Masidi Manjun berkata, angka kes baharu hari ini ialah 421 kes, iaitu penyusutan sebanyak 175 kes berbanding semalam dan ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 363,570 kes.


“Jumlah kes baharu yang lebih rendah hari ini banyak dipengaruhi oleh penyusutan pada skala besar di beberapa daerah seperti Kota Kinabalu (-44 kes), Penampang (-35 kes), Beaufort (-26 kes), Papar (-22 kes) dan Tawau (-17 kes).


“Sebanyak 15 daerah merekodkan penurunan kes harian dan hanya sembilan daerah merekodkan peningkatan kes baharu. Namun peningkatan kes di sembilan daerah adalah pada skala yang kecil,” kata Masidi dalam satu kenyataan.


Tambah beliau, terdapat tanda-tanda penstabilan di hampir keseluruhan daerah di Sabah dengan 13 daerah mencatatkan kes satu angka sahaja.


Daripada 11 daerah yang mencatatkan kes dua angka cuma Tuaran (55 kes), Papar (37 kes), Penampang (35 kes), Putatan (27 kes) dan Beaufort (25 kes) yang mencatatkan kes agak tinggi.


Sementara itu, Kota Kinabalu adalah satu-satunya daerah yang masih mencatat kes baharu tiga angka (104 kes) tetapi berkurangan 44 kes berbanding jumlah semalam. Lahad Datu dan Nabawan tidak mencatatkan sebarang kes baharu hari ini.


“Dalam pada itu, sebanyak 412 atau 97.86 peratus daripada 421 kes baharu hari ini adalah dalam Kategori 1 dan 2, dua kes dalam Kategori 3, empat kes dalam Kategori 4 dan tiga kes dalam Kategori 5.


“Sebanyak dua kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu satu kes di Tawau dan satu lagi di Kota Kinabalu,” ujarnya.



bottom of page