Kes harian Covid-19 Sabah kembali ke empat angka

29 Sept 2021
Oleh Ilona Andrew
KOTA KINABALU: Jumlah kes harian Covid-19 di Sabah kembali ke empat angka dengan sebanyak 1,000 kes baharu dicatat hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 196,680.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, ini merupakan peningkatan 35 kes berbanding yang dicatat semalam.
“Saringan Kontak Rapat kekal penyumbang utama keseluruhan kes di Sabah hari ini dengan 551 kes, Saringan Bergejala 349 kes, 24 kes daripada Saringan Kluster, satu 1 kes dari Saringan Bersasar dan 75 kes melalui Saringan Lain-lain.
“Daripada 1,000 kes yang berdaftar hari ini, 232 kes adalah pesakit dalam Kategori 1, 715 kes dalam Kategori 2, dua kes dalam Kategori 3, tujuh kes dalam Kategori 4 dan lima kes dalam Kategori 5,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Tambahnya, sebanyak 39 kes masih dalam siasatan dan 95.3 peratus daripada jumlah keseluruhan pesakit adalah warganegara Malaysia.
Sementara itu, sebanyak 22 kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu lapan kes di Sandakan, tiga kes di Kunak, dua kes masing-masing di Kota Belud, Putatan dan Tawau, manakala masing-masing satu kes di Semporna, Kota Kinabalu, Tambunan, Lahad Datu dan Kalabakan.
Menurut Masidi, bilangan kematian ini tidak semestinya berlaku dalam tempoh 24 jam kerana terdapat kes kematian yang mengambil masa untuk verifikasi dan dilaporkan kemudian daripada tarikh sebenar.
Bagi bilangan pesakit sembuh pula, beliau berkata seramai 1,273 pesakit telah discaj dari hospital dan pusat kuarantin, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sebanyak 177,363 kes.
“Manakala 3,233 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 1,234 orang di hospital, 1,951 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, 40 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara manakala lapan orang di fasiliti swasta.
“Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 139 orang merangkumi 124 di ICU serta 15 di kubikel akut dan 51 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan.”
Comments