top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kes penyelewengan minyak diesel turun 87% selepas pelaksanaan penyasaran subsidi - Armizan



4 Julai 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


PUTRAJAYA: Penurunan drastik sebanyak 87 peratus dalam kes penyelewengan minyak diesel telah dicatatkan selepas pelaksanaan subsidi diesel bersasar, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.

 

Menurut beliau, jumlah kes penyelewengan diesel berkurang dari 65 kes dengan rampasan 520,803 liter dalam tempoh 20 Mei hingga 9 Jun 2024, kepada hanya 14 kes dengan rampasan 68,457 liter dalam tempoh 20 hari selepas pelaksanaan subsidi bersasar pada 10 Jun 2024.

 

“Perbandingan ini menunjukkan berlakunya penurunan rampasan diesel sebanyak 87% selepas pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

 

“Jumlah individu yang telah ditahan bersabit kes diesel juga berkurangan dalam tempoh yang sama daripada 40 orang kepada seorang sahaja,” kata Armizan dalam satu kenyataan.

 

Namun begitu, Armizan memaklumkan terdapat peningkatan kes penyelewengan petrol RON95, dengan 37 kes melibatkan rampasan 17,064 liter dalam tempoh 20 Mei hingga 9 Jun 2024, berbanding 46 kes dengan rampasan 14,011 liter selepas pelaksanaan subsidi diesel bersasar.

 

"Jumlah tangkapan bagi kes penyelewengan petrol RON95 juga meningkat dari 10 orang kepada 17 orang dalam tempoh yang sama," kata beliau.

 

KPDN akan terus memperkukuhkan tindakan penguatkuasaan dan pemantauan ke atas aktiviti penyelewengan barang kawalan di bawah OPS TIRIS 3.0 di seluruh negara dengan kerjasama rapat agensi penguatkuasaan lain bagi memastikan isu ketirisan dapat diatasi secara menyeluruh dan berkesan.

 

 

Comments


bottom of page