KES POSITIF COVID-19 DI SABAH DIJANGKA MENINGKAT MENDADAK: MASIDIKES POSITIF COVID-19 DI SABAH DIJANGKA MENINGKAT MENDADAK: MASIDI
top of page
  • nabalunews

KES POSITIF COVID-19 DI SABAH DIJANGKA MENINGKAT MENDADAK: MASIDI


21 OKTOBER 2020

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Bilangan kes positif di Sabah khususnya daerah Kota Kinabalu dijangka akan meningkat secara mendadak dalam beberapa hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, peningkatan mendadak kes positif Covid-19 itu disebabkan keputusan ujian saringan ke atas banduan dan kakitangan Penjara Kepayan.

“Mengikut laporan awal, ujian yang dilakukan di kalangan banduan dan kakitangan Penjara Kepayan, hampir 60 peratus daripada ujian setakat ini adalah positif.

“Jumlah banduan di Penjara Kepayan sekitar 2,700 orang. Ini bermakna sekiranya keputusan kes positif itu tinggi maka ia sendirinya akan mengakibatkan kes baharu positif Covid-19 di Kota Kinabalu melonjak kepada satu angka yang amat tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar laporan harian kes jangkitan Covid-19 di Sabah, di sini, hari ini.

Masidi yang juga Menteri Kewangan II berkata, beliau membuat kenyataan awal mengenai perkara itu agar masyarakat faham.

“Sekiranya dalam beberapa hari ini, kes baharu positif Covid-19 di Kota kinabalu meningkat secara mendadak, ia disumbangkan daripada Kluster Penjara Kepayan.

“Kalau kita lihat kes pada hari ini di Kota Kinabalu, jumlah kes baharu hanya 90 kes tetapi saya ingin memberi ingatan bahawa ada kemungkinan Kluster Penjara Kepayan akan menyumbang kepada peningkatan secara mendadak dalam beberapa hari ini, bergantung kepada ujian saringan ke atas banduan di pusat itu.

“Bagaimanapun pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) telah memberi tumpuan sepenuhnya kepada Kluster Penjara Kepayan dan ujian-ujian saringan sedang giat dilaksanakan bukan sahaja di kalangan banduan tetapi keluarga pegawai dan kakitangan Penjara Kepayan.

“Kawasan ini juga telah diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan laporan JKNS, jumlah kes positif baharu Covid-19 di Sabah pada hari ini adalah sebanyak 535 kes, dengan jumlah kematian lima orang.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di negeri ini sebanyak 9,290 kes. Daripada jumlah itu seramai 3,705 pesakit dilaporkan sembuh. Manakala 5,513 pesakit lagi sedang menerima rawatan dalam pelbagai wad hospital di seluruh Sabah,” katanya.

Katanya lagi, pecahan kes jangkitan Covid-19 pada hari ini mengikut daerah ialah, Lahad Datu (115 kes), Kota Kinabalu (90 kes), Tawau (83 kes), Tuaran (49 kes), Sandakan (35 kes), Papar (31 kes), Kudat dan Putatan masing-masing (30 kes), Semporna (26 kes).

“Penampang (21 kes), masing-masing empat kes di Kunak, Kota Belud dan Kinabatangan, manakala Keningau (tiga kes), Sipitang, Kota Marudu dan Pitas masing-masing dua kes, Ranau, Tambunan, Kuala Penyu dan Nabawan masing-masing satu kes baru positif Covid-19,” katanya.


Masidi berkata, jumlah kes baharu positif di Lahad Datu juga agak tinggi pada hari ini disebabkan keputusan saringan tertangguh (backlog) yang baru diterima.

“Dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan taklimat daripada Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia pada tengah hari tadi, saya diberi perakuan bahawa semua langkah telah diambil untuk memastikan pengawalan dibuat agar kita dapat melandaikan kes-kes yang tinggi di Sabah,” katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page