top of page

Kes Zara Qairina Dedah Isu Buli Yang Terus Membelenggu Masyarakat

  • nabalunews
  • 6 minutes ago
  • 1 min read

ree

5 September 2025


KOTA KINABALU: Tragedi Zara Qairina Mahathir baru-baru ini membuka mata masyarakat terhadap isu buli yang sebenarnya masih belum ditangani secara menyeluruh.


Ketua Wanita UPKO Malaysia, Mohina Sidom berkata, perbuatan buli bukanlah perkara baharu, malah ramai antara kita mungkin pernah mengalaminya atau menyaksikan sendiri kejadian berkenaan.


“Buli datang dalam pelbagai bentuk, bukan sahaja fizikal, tetapi juga secara verbal, mental dan emosi.


“Tindakan yang kelihatan remeh itu boleh memberi kesan mendalam sehingga menjejaskan masa depan seseorang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.


Mohina turut berkongsi pengalaman peribadi, termasuk kisah seorang rakan sekolahnya yang berhenti sekolah selepas menjadi mangsa ejekan kerana datang haid buat pertama kali.


Peristiwa itu, katanya, menjadi contoh jelas bagaimana buli yang dianggap kecil mampu mengubah perjalanan hidup seseorang.


“Sebagai bekas pelajar sekolah berasrama, saya juga pernah menjadi sasaran kata-kata tidak senonoh serta isyarat lucah.


“Saya bernasib baik kerana mempunyai ketahanan emosi untuk melawan, tetapi tidak semua pelajar mampu berbuat demikian,” ujarnya.


Beliau menegaskan, tanggungjawab membanteras buli bukan hanya terletak di bahu pihak sekolah, tetapi juga ibu bapa dan masyarakat secara keseluruhan.


“Ibu bapa mesti peka terhadap tingkah laku anak-anak dan segera campur tangan jika ada tanda-tanda pembabitan dalam kes buli.


“Institusi pendidikan juga perlu memainkan peranan lebih aktif dengan mewujudkan mekanisme aduan yang berkesan serta memastikan guru diberi latihan untuk menangani kes buli dengan bijaksana.


“Keselamatan pelajar mestilah diberi keutamaan tertinggi,” jelasnya.


Sehubungan itu, Mohina Sidom menyeru agar masyarakat menjadikan tragedi yang menimpa Zara Qairina sebagai iktibar bersama.


“Kita berhutang kepada arwah Zara Qairina, dan setiap anak yang pernah menderita dalam diam, untuk memutuskan kitaran buli ini.


“UPKO Wanita berdiri teguh menentang buli dalam apa jua bentuk dan bersolidariti bersama Zara,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page