Kesatuan semua Adun penting dalam memperjuangkan MA63Kesatuan semua Adun penting dalam memperjuangkan MA63
top of page
  • Writer's pictureMarryan Razan

Kesatuan semua Adun penting dalam memperjuangkan MA63


23 Sept 2021

Oleh Marryan Razan


KOTA KINABALU: Kesatuan semua wakil rakyat penting dalam memperjuangkan hak-hak negeri Sabah dalam Persekutuan Malaysia seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


Ketua Menteri Datuk Hajiji Haji Noor berkata, perbezaan ideologi politik tidak semestinya menjadi jurang pemisah dalam memperjuangkan hak-hak negeri ini di peringkat persekutuan.


“Kesatuan dan kesepakatan kita sangat penting agar kita sentiasa senada dan seirama dalam memperjuangkan hak-hak rakyat dan negeri demi kemajuan dan kesejahteraan semua.


“Ahli Yang Berhormat dari Senallang, Kadamaian, Sindumin, Nabawan, Kunak, Telupid dan Moyog telah membangkitkan isu tentang Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


“Ahli-Ahli Yang Berhormat menekankan perimustahaknya kita sebagai orang Sabah untuk terus menuntut, bersatu hati, bersepakat, seia dan sekata dalam memperjuangkan hak-hak negeri Sabah dalam Persekutuan Malaysia sebagaimana yang termaktub dalam MA63,” katanya dalam ucapan penggulungan pada persidangan dewan undangan negeri, di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.


Hajiji menegaskan bahawa Kerajaan Negeri akan terus mempertahan dan memperjuangkan hak-hak Sabah seperti yang termaktub dalam MA63 serta Perlembagaan Persekutuan.


“Malah hal yang sama telah saya sentuh sebelum ini, termasuk semasa membentangkan Bajet 2021 pada tahun lalu,” katanya.


Katanya lagi, kerajaan Negeri Sabah juga mempunyai pendirian bahawa hak sempadan Sabah adalah seperti termaktub di bawah North Borneo (Alternation of Boundaries) Order in Council 1954 yang meliputi pelantar benua atau continental shelf.


“Oleh itu, hak dan kepentingan negeri berkaitan perkara ini akan dibawa ke mesyuarat Majlis Khas MA63,” katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page