top of page

Kesepaduan sosial di Sabah dan Sarawak berada pada tahap tinggi, panduan perkukuh perpaduan

  • nabalunews
  • Oct 17, 2024
  • 2 min read


17 Oktober 2024


KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN) yang berlangsung di Bangunan Parlimen, semalam membincangkan Hasil Kajian Pembangunan Model Kesepaduan Sosial Sabah dan Sarawak oleh pasukan penyelidik Universiti Malaysia Sabah yang mendapati kesepaduan sosial di Sabah dan Sarawak berada pada tahap tinggi.


Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan dihadiri Menteri Perpaduan Datuk Aaron Ago Dagang serta barisan ahli Majlis seramai 12 orang terdiri tokoh masyarakat, lapor Bernama.


Kementerian Perpaduan Negara dalam kenyataan hari ini memaklumkan

Model Kesepaduan Sosial Sabah dan Sarawak ini boleh dijadikan panduan dalam memperkukuh perpaduan dan integrasi nasional melalui beberapa strategi seperti merapatkan jarak sosial melalui pembangunan modal insan dan infrastruktur.


Fadillah dalam mesyuarat itu turut menekankan bahawa usaha mengharmonikan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan budaya harus ditambah baik oleh kementerian termasuk pihak swasta selain memohon kementerian memperbanyakkan dialog antara penganut pelbagai agama.


Dalam mesyuarat itu, Tan Sri Lee Lam Thye dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kecil MPPN yang dipertanggungjawabkan memantau dan menangani tuturan hasutan (hate speech) serta kenyataan berbaur hasutan yang boleh mengganggu gugat keharmonian dan kesepaduan masyarakat sejagat.


Mesyuarat turut bersetuju agar keahlian MPPN ditambah baik dengan melibatkan kementerian lain seperti Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Komunikasi, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.


Mesyuarat MPPN turut meluluskan cadangan pembangunan ruang sosial dan fizikal di dalam Kawasan Rukun Tetangga (KRT) perumahan strata kos rendah dalam bandar.


Langkah itu bertujuan memperkasakan dan memperkukuh perhubungan serta pembangunan komuniti di Malaysia melalui ruang sosial dan fizikal sebagai tapak integrasi selaras dengan usaha Pemerkasaan KRT Progresif.


“Tapak dipilih berdasarkan keaktifan dan partisipasi positif KRT serta penduduk setempat; kawasan berpopulasi padat dan kawasan perumahan strata tanpa ruang komunal/ruang komunal terhad/ruang sedia ada yang perlu penambahbaikan seiring dengan keperluan semasa.


“Projek ini juga diharap dapat memperkasakan komuniti dengan memberikan mereka ruang untuk berkumpul, berinteraksi dan melaksanakan pelbagai aktiviti yang memupuk semangat kejiranan,” menurut kenyataan itu.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page